Aarau (Switzerland): Lima maut dalam kejadian tembakan yang menggemparkan sebuah bandar kecil di Switzerland yang lazimnya terkenal aman.

Antara yang mati dalam kejadian di Wuerenlingen itu termasuk penembak berusia 36 tahun yang turut menembak dirinya sendiri.

Jurucakap polis, Michael Leutpold berkata, kejadian membabitkan konflik peribadi, malah lelaki itu dipercayai mengenali mangsa yang mungkin juga keluarganya.

Media tempatan melaporkan, suspek anggota polis tempatan dan bapa tiga anak.

Leutpold bagaimanapun menegaskan, suspek tiada lesen memiliki pistol selain tidak menggunakan senjata itu ketika kejadian.

Menurutnya, suspek memasuki sebuah rumah di kejiranan berkenaan dan menembak mati tiga orang iaitu sepasang suami isteri masing-masing berusia 58 dan 57 tahun serta seorang lagi lelaki berusia 32 tahun dipercayai adik iparnya.

Suspek kemudian memasuki satu lagi rumah sebelum menembak mati lelaki berusia 46 tahun, seterusnya menembak dirinya sendiri.

Jiran menghubungi polis selepas mendengar tembakan sekitar jam 11 malam kelmarin.

Polis yang tiba tidak lama selepas itu menemui beberapa mayat di dalam dan luar rumah berkenaan.

Kejadian itu menggemparkan penduduk Switzerland malah akhbar Blick dalam laporannya berkata: “Tidak mungkin kejadian seperti ini berlaku. Switzerland negara paling kaya di dunia dan penduduknya rata-rata gembira.”

Ini berdasarkan laporan ahli akademik bulan lalu yang mengisytiharkan penduduk Switzerland sebagai paling gembira di dunia. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2015 @ 7:02 AM