Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


Putrajaya: Siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) didapati tiada penemuan kem penampungan (pengumpulan) atau kubur pendatang asing tanpa izin (PATI) etnik Rohingya dalam kawasan Malaysia.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Alwi Ibrahim berkata, Malaysia disasarkan sebagai negara destinasi bagi kes penyeludupan migran menerusi Thailand yang bertindak sebagai negara transit bagi kegiatan ini.

Katanya, kegiatan penyeludupan migran termasuk PATI adalah satu cabaran kepada agensi penguatkuasaan di negara ini kerana sudah lama berlarutan serta membabitkan sindiket dari Malaysia dan Thailand yang mengaut pendapatan lumayan daripada aktiviti itu.

"Selain itu, faktor muka bumi di sekitar sempadan Malaysia dan Thailand yang terdedah menjadi satu laluan mudah bagi sindiket penyeludupan migran menjalankan kegiatan mereka.

"KDN juga ingin menjelaskan bahawa apa yang dapat dilihat adalah senario semasa di sempadan Malaysia -€“ Thailand, dan ia lebih menjurus kepada aktiviti jenayah penyeludupan migran berbanding dengan jenayah pemerdagangan orang,"katanya dalam kenyataan di sini, sebentar tadi.

Alwi berkata, ini adalah kerana jenayah penyeludupan migran membabitkan pergerakan merentasi sempadan negara dan kebanyakan daripada PATI termasuk etnik Rohingya sanggup bersekongkol dan membayar kepada sindiket jenayah untuk diseludupkan masuk ke Malaysia melalui Thailand.

Katanya, PATI yang diseludupkan melakukan kegiatan ini di atas kerelaan mereka sendiri dan bukannya mangsa.

Menurutnya, pada 7 Mei lalu, seramai 67 PATI Myanmar ditahan oleh pihak Pasukan Gerakan Am (PGA) di pintu sempadan negara di Bukit Kayu Hitam, Kedah, manakala, seorang warga Malaysia ditangkap atas kesalahan Seksyen 26(A) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 pada hari sama ketika cuba menyeludup 12 PATI Kemboja ke Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2015 @ 2:03 PM