KETUA Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Ahmad Zakie Ahmad Shariff, antara penceramah.
Oleh Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


Perniagaan adalah amalan mulia dan dituntut agama. Bahkan, Nabi Muhammad (SAW) adalah usahawan jujur, amanah dan cemerlang serta menjadi teladan kepada umatnya. Justeru usahawan dalam kalangan Muslim perlu menjalankan perniagaan dengan mematuhi ajaran agama dengan baik dalam kehidupan seharian serta dalam kerjayanya supaya diredai Allah SWT.

Sehubungan itu, syarikat milik penuh Bumiputera yang mengeluarkan minyak pelincir jenama Platinum Oil, Platinum Oil & Gas Sdn Bhd (Platinum Oil) membimbing usahawan Muslim yang mahu berjinak-jinak dalam perniagaan minyak pelincir dan rawatan enjin dengan menjadi pengedar dan peruncit produk mereka dengan ciri-ciri usahawan berjaya mengikut per­spektif Islam.

Latihan kepada usahawan berkenaan diberikan menerusi seminar usahawan Muslim Platinum Oil dengan kerjasama pihak berkaitan dan antara pengisian disampaikan kepada peserta selain maklumat mengenai produk adalah sejarah dan konsep keusahawanan Islam serta prinsip asas dan khusus etika perniagaan dan keusahawanan.

Ketua Pegawai Operasi Platinum Oil, Mohd Azizi Mastuki berkata, pembabitan belia, khususnya usahawan muda, dalam program keusahawanan anjuran pihaknya menunjukkan perkembangan positif ke arah melahirkan lebih ramai usahawan muda yang berwibawa dan berdaya saing pada masa depan.

Usaha memberi kesedaran kepada golongan muda, khususnya penuntut institusi pengajian tinggi, terus dipergiatkan oleh pihaknya bagi menjadikan bidang keusahawanan sebagai kerjaya selepas tamat pengajian. Ia penting bagi meningkatkan tahap keyakinan serta jati diri mereka yang baru menceburkan diri dalam bidang perniagaan.

“Platinum Oil menumpukan bidang peruncitan minyak pelincir kenderaan dengan teknologi terkini, yang mana usahawan muda yang menyertai kami akan diserapkan untuk menjadi pengedar kami yang sah.

“Mereka akan dilatih mendalami ilmu keusahawanan seperti pengetahuan berkaitan produk, strategi pemasaran dan pelbagai lagi modul yang dapat membina komuniti usahawan muda yang berjaya satu hari nanti.

“Sangat penting budaya ini perlu disemai, dipupuk dan dimantapkan ke dalam jiwa golongan belia kerana generasi ini yang akan menggerakkan usaha ke arah mencapai taraf negara maju menjelang 2020.

“Selain modul keusahawanan, pihak syarikat menjemput tokoh usahawan terkenal dan berpengalaman di tanah air bagi menyuntik semangat motivasi dan berkongsi pengalaman bagaimana mereka boleh berjaya dalam bidang diceburi,” katanya.

Menurutnya, pelbagai usaha dan inisiatif dilakukan kerajaan dalam melahirkan lebih ramai usahawan muda yang dinamik dan berdaya saing di negara ini. Usaha berkenaan termasuk menyediakan peluang, sumber kewangan dan menyediakan program kemahiran dan keusahawanan kepada mereka yang berminat memulakan perniagaan.

“Ilmu dan nikmat yang diperoleh dari perniagaan perlu dikongsi kerana ini sebahagian cara untuk menzahirkan rasa syukur kepada Allah di atas nikmat diberi. Ini yang Platinum Oil cuba terapkan dalam seminar iaitu membuka jalan dan melatih kumpulan usahawan baru untuk terus mencipta kejayaan cemerlang seperti dikecapi syarikat ini,” katanya.

Peserta seminar yang juga penuntut Kejuruteraan Mekanikal Automotif dari universiti swasta, Amir Arsyad Mohd Adam, 23, berkata, minatnya menyertai seminar usahawan Muslim Platinum Oil berikutan modul latihan lengkap disampaikan syarikat berkenaan.

“Penganjur menyediakan semua kemudahan untuk menjadi usahawan produk mereka dan peserta hanya perlu menyediakan modal. Malah, peserta yang tiada modal dibimbing mendapatkan pinjaman menerusi skim pembangunan usahawan disediakan kerajaan.

“Saya bercadang menceburi bidang perniagaan sebaik tamat pengajian dan seminar disertai sebagai permulaan untuk mendalami ilmu pernigaan. Apatah lagi produk jualan juga berkaitan jurusan yang saya pelajari dan ia juga secara tidak langsung menambah pengetahuan,” katanya.

Eksekutif swasta, Azliyanti Suudi, 28, berkata, dia menyertai seminar berkenaan kerana melihat peluang menambah pendapatan dengan menjadikan perniagaan sebagai kerjaya sampingan.

“Saya bermula sebagai peng­guna minyak pelincir jenama Platinum Oil yang merasai kelebihan produk ini sebelum mencari maklumat lanjut dan diperkenalkan dengan skim usahawan Muslim mereka. Saya juga mendapati semakin ramai usahawan wanita menceburi bidang minyak dan gas.

“Malah, tindakan saya menjadi pengedar minyak pelincir jenama ini kerana inilah medium untuk saya menyokong produk keluaran Muslim dan Bumiputera. Tidak rugi melabur kepada produk yang sentiasa ada permintaan dan produk ini juga bukan perniagaan bermusim,” katanya.

Pengurus perhubungan bank, Fariz Mohamad, 30, berkata, seminar berkenaan turut memberi beberapa tip yang boleh dijadikan panduan kepada seluruh usahawan dan peniaga Islam yang ingin maju dan mengorak langkah dengan jayanya dalam perniagaan dan perusahaan.

“Segelintir usahawan dan peniaga Muslim kurang maju dalam perniagaan disebabkan saingan dengan bangsa lain yang terlalu hebat. Bagaimanapun, ia masih boleh diatasi jika perniagaan dijalankan menurut panduan digariskan Islam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2015 @ 1:04 PM