Kejayaan diraih filem Pilot Cafe yang mencatat kutipan lebih RM1 juta sejak ditayangkan di pawagam 30 April lalu, tentu berita gembira buat produser dan pengarahnya serta penggiat filem tanah air keseluruhannya.

Ia memberi petanda sokongan peminat terhadap filem Melayu sebenarnya masih kuat, bergantung kepada filem yang menjadi pilihan mereka.

Kalau filemnya bagus dan promosi juga bagus, tidak ada masalah untuk ke panggung sebagaimana kejayaan Villa Nabila, Suamiku Encik Perfect 10 dan Cicak Man 3.

Namun untuk mengulangi kejayaan Ombak Rindu yang juga arahan pengarah sama, Osman Ali yang mencatat RM13 juta ketika ditayangkan pada 2010 mungkin mustahil, melihat senario pasaran filem Melayu akhir-akhir ini.

Tambah pula selepas seminggu ditayangkan dan baru hendak menarik nafas lega, filem ini menerima asakan dari dua penjuru apabila dua filem ditayangkan serentak pada 7 Mei lalu.

Satu filem seram Jalan Puncak Alam dan satu lagi terbitan produksi Singapura, Banting. Menyusul Khamis ini, Suami Aku Ustaz.

Tahun ini juga kebanyakan filem Melayu yang ditayangkan di pawagam sudah lama dihasilkan. Ada yang lebih dua tahun atau setahun lebih.

Mungkin kerana dua tahun lalu produser ghairah menghasilkan filem hingga berlaku lambakan filem yang menantikan tayangan.

Filem yang lama siap inilah berbaris menanti tayangannya, sementara filem baru yang dihasilkan pula berkurangan kerana langkah berhati-hati penggiat filem kebelakangan ini.

Kalau sebelum ini ada dana daripada kerajaan tetapi tahun ini Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) memperkenalkan sistem baru, Content Malaysia Pitching Centre yang dilancarkan bulan lalu dalam usaha membantu penggiat filem tanah air.

Antara objektifnya ialah membangunkan industri kandungan kreatif di peringkat global serta dapat melahirkan lebih ramai bakat karyawan baru, terutama penulis skrip dan penerbit bertaraf global.

Content Malaysia Pitching Centre berperanan sebagai pusat yang dapat merangsang dan mencambah idea baru bagi semua kandungan kreatif dari video berdurasi tiga minit untuk YouTube hingga produksi filem cereka, TV, filem, dokumentari, muzik, animasi, permainan dan aplikasi mudah alih.

Melalui sisten ini, pengkarya kreatif dibimbing dari awal hinggalah karya itu benar-benar matang sebelum dihasilkan, bukan terus beri dana menghasilkan filem tanpa mengira skripnya bagus atau tidak.

Sistem ini dikatakan diguna pakai di Amerika Syarikat dan negara lain. Ia mula menarik minat karyawan muda yang mengemukakan skrip untuk dinilai dan hasilnya dikatakan memang berbeza dan membanggakan.

Kita nantikan perubahan baru dalam industri filem tanah air selepas ini hasil daripada Content Malaysia Pitching Centre.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2015 @ 12:22 PM