ANTARA lembu yang cuba diseludup.
Oleh Adnan Mohamad
am@hmetro.com.my


Tumpat: Sebanyak 15 ekor lembu baka kacukan berjaya dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubor selepas menyerbu pangkalan haram Kampung Atas Kok dekat Simpangan, di sini, 5.30 pagi tadi.

Serbuan dilakukan selepas intipan awal dibuat kira-kira empat jam sebelum itu.

Pegawai Pemerintah PPM Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Mohd Nawi Yunus berkata, semua lembu bernilai RM67,500 itu dipercayai diseludup masuk untuk menambah bekalan daging di daerah ini.

Beliau berkata, lembu itu dibawa masuk menerusi Sungai Golok dengan semuanya ditambat di belakang perahu.

Katanya, PPM turut mengesan beberapa lelaki dipercayai warga Thailand yang melarikan diri selepas mengesan kehadiran anggota PPM di situ.

"Lembu ini sudah diserahkan ke Jabatan Veterinar Kelantan untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Oktober 2014 @ 12:44 PM