FEONA Sim (kanan) dibantu dua penghuni Sekolah Henry Gurney menyiapkan dekorasi kek sempena Sambutan Hari Ibu.
Oleh Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@mediaprima.com.my

Melaka: “Maafkan Along kerana mengecewa dan melukai hati ibu. Kalaulah Along dengar nasihat ibu, pasti ini semua tidak akan berlaku,” kata seorang penghuni Sekolah Henry Gurney (SHG) Telok Mas, di sini.

Hanya ingin dikenali sebagai Along, 20, dia kini menghitung hari untuk keluar dan pulang ke pangkuan ibu dan memohon kemaafan atas kesilapan yang dilakukannya sebelum ini.

Berasal dari Kajang Selangor, Along dikenakan hukuman tiga tahun di pusat pemulihan akhlak itu selepas didapati bersalah atas kesalahan samun bersenjata di sebuah hotel di Kajang pada Mac 2013.

“Walaupun hanya akan dibebaskan pada Mac tahun depan, perasaan ini bagaikan sudah tidak sabar menanggung rindu dan mahu berjumpa ibu, saya hendak peluk dan cium ibu sepuas-puasnya.

“Saya mahu pohon kemaafan daripada ibu kerana menghancurkan hatinya, sepatutnya sebagai anak sulong, saya menjadi teladan yang baik kepada adik-adik,” katanya.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2015 @ 7:37 AM