PEMAIN Pahang, Dickson Nwakaeme diasak pemain Kelantan, Nor Farhan Muhammad pada separuh akhir pertama Piala FA 2015 di Stadium Darul Makmur. FOTO Luqman Hakim Zubir
Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my

Kuantan: Pahang gagal mendapat bekalan selesa apabila sekadar menang tipis 1-0, ke atas Kelantan pada aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Makmur, malam tadi.

Bagaimanapun, kemenangan itu tetap memberi sedikit kelebihan buat pasukan bimbingan Zainal Abidin Hasan itu untuk mengharungi aksi kedua di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu, Kelantan, 16 Mei ini.

Sebaik wisel permulaan ditiup, tuan rumah bermula garang dan hampir mencemaskan The Red Warriors tetapi tandukan Matias Conti tepat ke dakapan penjaga gol lawan, Khairul Fahmi Che Mat ketika perlawanan belum pun memasuki minit pertama.

Bagaimanapun, Conti menebus kesilapan itu dengan menghadiahkan gol pertama Pahang selang beberapa saat kemudian, selepas mudah menolak masuk hantaran Dickson Nwaekeme.

Beraksi tanpa tonggak utama, Damion Stewart yang digantung satu perlawanan, tuan rumah sekali lagi mencemaskan lawan apabila percubaan hasil gerakan solo Nwaekeme tetapi sekadar melambung tinggi pada minit ke-13.

Pahang selaku pendahulu Liga Super terus mempamerkan aksi cemerlang apabila sekali lagi mengkucar-kacirkan pertahanan skuad bimbingan Mohd Azraai Khor Abdullah pada minit ke-16, namun sepakan Nwaekeme dihalang Jonatahan David McKains.

Bersambung babak kedua, Kelantan cuba mengatur gerakan bagi merapatkan kedudukan namun sepakan percuma oleh Mohd Khairul Izuan Rosli pada minit ke-48, dapat diselamatkan penjaga gol Pahang, Md Khairul Azhan Md Khalid.

Skuad pelawat yang sebelum ini dimalukan Pahang 2-0 di gelanggang sendiri pada saingan Liga Super di Kota Bharu pada 11 April lalu hampir mencemaskan tuan rumah apabila rembatan Md Nor Farhan Muhammad dari luar kotak penalti pada minit ke-51 tetapi dapat ditampan Md Khairul Azhan.

Selepas itu, Kelantan berusaha untuk mendapatkan gol penyamaan namun kedudukan 1-0 kekal sehingga wisel penamat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2015 @ 11:28 PM