STEVEN Gerrard mahu akhiri musim gemilang sebelum berpindah.
AFP

London: Ketika Chelsea sudah mengesahkan kejuaraan, tumpuan aksi Liga Perdana Inggeris minggu ini beralih kepada perjuangan mengelak tersingkir ke liga bawahan dan tiket ke pertandingan Eropah.

Queens Park Rangers dan Burnley berada dalam bahaya terjerumus ke divisyen dua manakala Manchester United dan Liverpool antara pasukan yang memburu tempat ke Liga Juara-Juara musim depan.

Empat mata di bawah United yang menghuni tangga keempat dan tiket terakhir ke Liga Juara-juara, Liverpool berkunjung ke Chelsea yang membuktikan dominasi sepanjang musim ini selepas menang 1-0 di laman sendiri ke atas Crystal Palace, hujung minggu lalu.

Dengan Arsenal dan Manchester City memastikan tempat dalam kelompok empat teratas, sembilan mata di atas Liverpool dengan perbezaan jaringan lebih besar, United satu-satunya pasukan yang boleh dikejar skuad bimbingan Brendan Rodgers.

Namun jika gagal menang di Stamford Bridge dan United menang di Palace awal pagi esok, secara efektif akan menamatkan impian Liverpool beraksi pada pertandingan elit kelab Eropah itu bagi musim 2015-16.

Penjaga gol Liverpool, Simon Mignolet dijangka menerima anugerah Sarung Tangan Emas yang diberikan kepada penjaga gol paling banyak tidak bolos dan dia berharap satu lagi pencapaian sama menentang Chelsea yang akan membantu pasukannya menghampiri empat teratas.

“Saya tahu daripada pengalaman dalam Liga Perdana apa saja boleh berlaku dan boleh berubah sekelip mata,” kata pemain kebangsaan Belgium itu, yang tidak dibolosi sebarang gol dalam 14 perlawanan.

“Itulah sebabnya kami perlu fokus tugas sendiri dan memastikan menang sebanyak mungkin. Kami bertahan sebagai satu pasukan dan harapnya boleh berada dalam kelompok empat teratas.”

Kemenangan 2-1 ke atas QPR hujung minggu lalu adalah kemenangan kedua dalam enam perlawanan liga ketika United turut merudum pada hujung musim.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2015 @ 9:20 AM