Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tempoh dua tahun seperti tidak cukup untuk bekas pemain Perlis Abdul Aliff Alias apabila terpaksa terus menagih simpati dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi mendapatkan gaji yang tertunggak selama dua bulan setengah pada 2013.

Semuanya seperti janji tinggal janji walaupun sebelum ini Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) bersetuju membenarkan FAM memotong geran tahunan mereka bagi menyelesaikan tunggakan gaji Aliff bersama empat lagi anggota pasukan dari Mei 2013 hingga November 2013 itu.

Hasil perbincangan sebelum ini, pemain terbabit bersetuju untuk hanya menerima dua bulan setengah daripada enam bulan gaji yang sepatutnya diterima, namun malang buat Aliff apabila sehingga kini dia masih belum mendapat bayaran itu sedangkan tuntutan rakan sepasukannya termasuk jurulatih Yunus Alif selesai April lalu.

Menurut Aliff, 32, yang kini beraksi dengan kelab Liga FAM Real Mulia, dia sudah beberapa kali menghubungi pihak FAM yang menguruskan tuntutan itu, namun sehingga kini tidak memberi maklum balas.

“Sampai sekarang saya tak tahu apa yang menjadi masalah sehingga nama saya tercicir sedangkan empat lagi rakan sudah mendapat bayaran. Setiap kali saya menghubungi FAM, mereka kerap memberikan pelbagai alasan dengan mengatakan kes saya belum dirujuk kepada Pengerusi Jawatankuasa Status.

“Memang saya tidak hadir pada perjumpaan dengan PFA, tapi saya sudah mewakilkan kepada rakan sepasukan saya untuk beri persetujuan bagi pihak saya dan pihak PFA menerima keputusan saya itu,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Aliff yang enggan mendedahkan jumlah tunggakan gaji berkenaan berkata, ia bukan soal jumlah itu besar atau sedikit sebaliknya hanya mahu memperjuangkan haknya.

“Kes ini sudah berlarutan sekian lama sebab itu saya mahu memperjuangkan hak saya. Pegawai yang menguruskan kes saya ini pernah memberitahu saya mungkin perlu mengisi permohonan semula, tapi itu tidak jadi masalah, saya boleh buat tapi sehingga sekarang saya masih ternanti-nanti arahan itu.

“Saya berharap perkara ini boleh diselesaikan segera kerana saya sudah merayu dengan pegawai itu, tapi belum ada tindakan dan saya tak sanggup nak terus menagih simpati,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2015 @ 9:13 AM