Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my


Pasir Gudang: Kerajaan negeri tidak mahu berpolemik berkaitan isu rang undang-undang Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) yang tidak dipersetujui Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tujuan enakmen berkenaan dibentangkan dan diluluskan pada Jun tahun lalu adalah untuk memudahkan usaha kerajaan negeri.

Beliau berkata, perancangan dan usaha akan diteruskan termasuk pembinaan rumah mampu milik bagi golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

"Apa pun tanpa terbabit dalam apa-apa polemik, usaha kita untuk membina dan menyediakan rumah mampu milik akan diteruskan biar pun sebelumnya kita tiada enakmen berkenaan.

"Walaupun enakmen berkenaan tidak ditandatangani, kerajaan negeri akan meneruskan fokus dan usaha-usaha dijalankan," katanya pada sidang akhbar di Majlis Penyerahan Saguhati Nelayan Johor Selatan di Taman Mawar di sini, sebentar tadi.

Beliau mengulas titah Sultan Johor supaya rang undang-undang terbabit dikaji semula dan dibuat pindaan supaya selaras dengan enakmen-enakmen lain yang berkuatkuasa di negeri Johor.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Dewan Negeri Johor Ke-13, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2015 @ 2:36 PM