Oleh Ikram Ismail
ikram.ismail@mediaprima.com.my


Shah Alam: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) menarik balik pertimbangan untuk membuat membuat rayuan hukuman penjara bekas pelajar tajaan MARA, Nur Fitri Ameer Nordin, 23, yang dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Southwark Crown, London di atas kesalahan memiliki imej dan video pornografi kanak-kanak.

Menterinya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam kenyataan media bekata, beliau tidak menyokong dan menolak sebarang aktiviti berkaitan pornografi dilakukan pelajar itu.

"KKLW dan MARA tidak akan merayu terhadap hukuman yang dikenakan.

"Namun terpulang kepada ahli keluarga pelajar itu untuk merayu bagi pihak pelajar berkenaan," kata Shafie.

Shafie juga menegaskan tiada rayuan dibenarkan bagi pelajar ini meneruskan pengajian di bawah tajaan MARA.

"Pihak saya dan MARA memandang serius kesalahan tersebut dan semua pelajar tajaan MARA perlu patuh kepada undang - undang ditetapkan, di mana sahaja mereka berada,"katanya.

Pada 4 Mei Shafie dilaporkan sebagai berkata, KKLW akan membuat pertimbangan untuk membuat rayuan hukuman pelajar itu atas 13 kesalahan memiliki lebih daripada 30,000 imej dan video lucah kanak- kanak.

Penarikan pertimbangan oleh Shafie dipercayai adalah susulan kenyataan Perdana Menteri menerusi blog NajibRazak.com semalam yang tidak bersetuju dengan cadangan sesetengah pihak bahawa kerajaan akan merayu kepada pihak berkuasa British bagi mengurangkan hukuman.

Pada 4 Mei,Shafie dilaporkan sebagai berkata KKLW akan membuat pertimbangan untuk membuat rayuan hukuman pelajar itu.

Nur Fitri yang juga pelajar Imperal College London dijatuhkan hukuman penjara sembilan bulan bermula dari tarikh dia ditahan iaitu pada November tahun lalu.

Ketika ditahan di tempat tinggalnya di Queensborough Terrace, polis British merampas 600 video dan gambar dikategorikan sebagai penderaan seksual melampau terhadap kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2015 @ 2:18 PM