FOTO Mior Azlan Mior Kamarulbaid
Oleh Nor Azura Abdul Jalil
zura_jalil@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Dua pemandu Perodua MyVi termasuk seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Trafik atas tuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian tiga beranak di Lebuhraya DUKE, awal pagi Sabtu lalu.

Pembantu pengurus restoran, Siti Noor Aini Mohd Said, 35, dan juruteknik, Mohammad Fizal Reza Jamauddin,31, masing-masing membuat pengakuan itu selepas jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan secara berasingan di hadapan Majistret Noorul Fhaiez Mohd Nayan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa memandu secara berbahaya kepada awam dan menyebabkan kematian Fairuz Nizam Husain, 35, Nova Safitri Azhari, 27, dan Nur Firuza Annisa Fairuz Nizam, tujuh bulan di Lebuhraya DUKE, Kilometer 6.2 dari arah Ulu Klang menghala ke Jalan Duta, pada jam 1.05 pagi, 2 Mei lalu.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM20,000 selain lesen memandu digantung.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM9,000 setiap seorang dengan seorang penjamin selain menggantung lesen memandu dan pasport diserah kepada mahkamah mereka sehingga kes selesai serta menetapkan 22 Jun untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2015 @ 11:44 AM