Kuala Lumpur: DiGi.Com Berhad (DiGi) mencatatkan peningkatan pendapatan 4.2 peratus kepada RM1.79 bilion pada suku pertama tahun ini berbanding RM1.72 bilion bagi tempoh sama tahun lalu yang didorong pertumbuhan pengguna telefon pintarnya sehingga 53.2 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Albern Murty berkata, pengguna data Internet mencatatkan peningkatan memberangsangkan dan bagi tempoh suku pertama berakhir 31 Mac 2015, DiGi mengumpul 11.7 juta pelanggan, dengan 9.9 juta atau 85 peratus membabitkan pelanggan prabayar dengan hasil purata setiap pengguna (ARPU) sebanyak RM39.

“Momentum data yang kukuh pada 2014 diteruskan pada suku pertama tahun ini dengan pendapatan data meningkat sehingga 17.7 peratus.

“Ia sekali gus menyaksikan data menyumbang kepada 42.3 peratus pendapatan kumpulan iaitu peningkatan 5.6 peratus untuk tempoh sama,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) di Petaling Jaya, semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Kewangannya, Karl Erik Broten. DiGi pada tahun lalu turut mencatatkan pendapatan data sehingga RM686 juta.

“Pertumbuhan yang baik bagi pendapatan Internet adalah hasil daripada fokus kualiti dan pelanggan lebih kukuh selain pilihan pakej telefon pintar di bawah RM200 yang ditawarkan,” katanya sambil menambah DiGi melabur RM904 juta bagi perbelanjaan modal pada tahun lalu untuk meningkatkan rangkaian dan mengukuhkan kedudukan rangkaiannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2015 @ 8:00 AM