KUANTAN: Seorang pemuda yang dipercayai sedang berlumba dengan aksi 'Superman' maut selepas bertembung dengan sebuah kereta di dalam kemalangan di Kilometer 25 Jalan Lipis-Benta dekat Kuala Lipis, pagi tadi.

Mangsa, Putera Nur Alif Sarni, 20, beralamat dari Kampung Nabun, Benta mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan dan kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Lipis, Supt Abdul Razak Hassan berkata, dalam kemalangan 3.15 pagi itu mangsa dipercayai sedang berlumba bersama rakannya dari arah Benta menghala ke bandar Kuala Lipis.

"Mangsa dipercayai sedang membuat aksi berbahaya dengan gaya ala Superman sebelum hilang kawalan dan terbabas lalu memasuki laluan bertentangan.

Motosikal mangsa kemudian telah bertembung dengan kenderaan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala akibat tidak memakai topi keledar," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun pemandu dan penumpang kereta terbabit hanya cedera ringan dalam kejadian itu.

Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2015 @ 9:37 PM