FAIZZNURR bersama Nur Firuza Amira (kiri) dan Nur Firuza Aqila. FOTO Abdullah Yusof
Oleh Gaddafi Musli
gaddafi@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: "Biarlah proses perundangan berjalan dan pihak berkuasa menjalankan tugas mereka. Saya tidak mahu memberikan sebarang komen lanjut kerana buat masa ini kami sekeluarga mahu memberi fokus kepada Amira dan Aqila."

Itu kata adik mangsa nahas Lebuhraya Duke, Muhammad Faizznurr Asyraf Husain selepas diberitahu dua pemandu Perodua MyVi yang dipercayai bertanggungjawab menyebabkan kematian tiga ahli keluarganya dalam insiden awal pagi Sabtu lalu akan didakwa di Mahkamah Trafik Jalan Duta esok.

Menurutnya fokus mereka kini adalah keselesaan dan keceriaan dua anak mangsa iaitu Nur Firuza Amira Fairuz Nizam, 7, dan Nur Firuza Aqila, 4.

"Yang penting kedua beradik ini kembali bersemangat menjalani kehidupan, malah mereka kini sudah boleh ketawa dan tidur dengan lena," katanya ketika dihubungi hari ini.

Faizznur berkata kunjungan ramai pihak termasuk orang kenamaan dan selebriti seperti Datuk Siti Nurhaliza ke kediaman keluarga di Taman Batu Muda banyak memberi impak positif kepada kedua beradik itu.

Dalam kejadian di Kilometer 6.3 Lebuhraya DUKE pada 1.05 pagi Sabtu lalu, Fairuz Nizam Husain, 35, maut di tempat kejadian manakala isterinya, Nova Safitri Azhari, 27, dan anak mereka berusia tujuh bulan, Nur Firuza Annisa meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Setakat ini, 11 orang sudah dirakam keterangan termasuk dua pemandu berkenaan dan saksi utama kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2015 @ 5:34 PM