PENGARAH Kastam KLIA ( tengah) menunjukkan ruang khas dalam bagasi.
Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


Sepang: Tiga cubaan menyeludup dadah dan ganja berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) masing-masing pada 23 April dan 3 Mei lalu.

Pengarah Kastam KLIA, Datuk Chik Omar Chik Lim berkata, ia membabitkan rampasan keseluruhan sejumlah 11.11 kilogram (kg) dadah jenis Methamphetamine dan 979 gram ganja mampat dianggarkan bernilai RM2.1 juta.

Beliau berkata, kes pertama dilaporkan pada 23 April lalu membabitkan rampasan 10 tin makanan dari sebuah parcel barangan dimana tujuh tin mengandungi 692 gram Methamphetamine dan 979 gram ganja mampat.

"Manakala, kes kedua dan ketiga pula dilaporkan pada 3 Mei lalu membabitkan rampasan dua beg galas dari dua lelaki warga India. Kedua-dua beg masing-masing mengandungi 5.6 kg dan 4.82 kg bernilai keseluruhan RM1.9 juta," katanya pada sidang media di sini sebentar tadi.

Katanya, kedua-dua suspek warga India berusia 42 dan 49 tahun itu ditahan reman selama tujuh hari di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2015 @ 1:16 PM