Oleh Azlan Hafeedz
am@hmetro.com.my


Pasir Puteh: Hasrat seorang pemuda membantu ayahnya menyiapkan kerja baik pulih bangunan sekolah tidak kesampaian apabila dia menemui ajal dalam kemalangan di Kilometer 14 Jalan Pasir Puteh-Semerak dekat Cherang Ruku, Semerak, di sini.

Kejadian berlaku kira-kira 9.40 malam menyebabkan Nik Khairul Azhar Nik Him, 21, meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Tengku Anis untuk bedah siasat.

Difahamkan, mangsa membonceng motosikal jenis Honda EX5 ditunggang rakan dalam perjalanan ke Pasir Puteh secara konvoi dengan bapanya Nik Him Daud, 55.

Bagaimanapun, ketika tiba di tempat kejadian motosikal mangsa gagal mengelak kereta jenis Proton Gen 2 yang membelok ke kanan jalan, lalu merempuh belakang kereta itu dan terbabas ke laluan bertentangan.

Mangsa kemudian bertembung pula dengan kereta jenis Perodua Kancil.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Abd Rozak Muhammad mengesahkan kejadian dan berkata, pembonceng motosikal maut, manakala penunggang serta dua pemandu kereta tidak cedera.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2015 @ 11:08 AM