LES ALYSCAMPS karya Van Gogh.

New York: Sekeping lukisan karya pelukis terkenal, Vincent Van Gogh berjaya dijual pada harga AS$66.3 juta (RM236.57 juta) dalam satu acara lelongan di sini kelmarin.

Menurut firma lelongan Sotheby, lukisan Van Gogh yang bertajuk Les Alyscamps itu mulanya dianggarkan dilelong pada harga AS$40 juta (RM143 juta).

Bagaimanapun, lukisan yang menggambarkan pokok musim luruh itu dibeli oleh seorang pengumpul dari Asia selepas bidaan sengit dengan lima pembeli berpotensi.

Karya pelukis Perancis, Claude Monet yang bertajuk Water Lilies turut berjaya dijual melebihi harga jangkaan.

Karya seni itu dijual pada harga AS$54 juta (RM193 juta) melebihi harga penilaian antara AS$30 juta (RM107 juta) hingga AS$45 juta (RM161 juta).

Lukisan Van Gogh yang paling mahal dibeli pada 1990, apabila lukisannya yang bertajuk Portrait of Dr Gachet dijual pada harga AS$82.5 juta (RM294.3 juta).

Satu daripada enam hasil seni Monet yang ditawarkan dalam acara lelongan itu yang bertajuk Le Palais Ducal pula dijual pada harga AS$23.1 juta (RM82 juta).

Satu lagi hasil seni Monet yang bertajuk Bassin aux nympheas, les rosiers pula terjual pada harga AS$20.4 juta (RM71 juta).

Bagaimanapun, dua lukisan Monet yang lain gagal dijual.

Lukisan berwarna-warni karya pelukis tersohor, Pablo Picasso yang bertajuk The Women of Algiers (Version 0) akan dilelong oleh syarikat lelongan Christie’s pada 11 Mei ini.

Karya seni itu dianggarkan AS$140 juta (RM500 juta).

Ukiran yang dihasilkan pengukir terkenal, Alberto Giacometti yang bertajuk Man Pointin juga bakal memecahkan rekod apabila dijangka dilelong pada harga AS$130 juta (RM460 juta). - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2015 @ 8:22 AM