SALMAN Khan dibawa keluar mahkamah.
AFP

Mumbai: Bintang Bollywood terkenal, Salman Khan dihukum penjara lima tahun semalam kerana menyebabkan kematian seorang gelandangan dalam kejadian langgar lari pada 2002 selepas keluar minum di sebuah bar mewah.

Hakim DW Deshpande mendapati Salman bersalah atas tuduhan membunuh tanpa niat dan tuduhan lain selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaikinya merempuh sekumpulan gelandangan yang tidur di kaki lima bandar ini.

Mahkamah juga menolak dakwaan pelakon itu yang menyalahkan pemandunya atas kemalangan berkenaan.

“Setelah mendengar hujah yang dikemukakan kedua- dua belah pihak, saya memutuskan hukuman lima tahun penjara adalah wajar,” kata Deshpande.

Hukuman berkenaan dijangka memberi kesan terhadap karier aktor yang dianggap antara paling popular di Bollywood itu.

Salman, 49, yang menafikan dia memandu ketika kemalangan itu kelihatan terkejut dan lesu ketika hukuman dibacakan.

Dia hanya duduk di kerusi sebelum ditenangkan oleh keluarganya.

Salman yang popular dalam beberapa buah filem termasuk Dabangg melarikan diri dari lokasi kemalangan yang menyebabkan seorang maut dan beberapa lagi mangsa cedera.

Beberapa saksi termasuk mangsa memberitahu mahkamah, Salman memandu kenderaan itu yang melanggar sekumpulan gelandangan yang tidur.

Mahkamah juga mendapati Salman bersalah atas beberapa tuduhan lagi termasuk memandu di bawah pengaruh alkohol dan tanpa lesen.

Keputusan mahkamah itu dinantikan dengan penuh debaran oleh jutaan peminatnya dan studio perfileman Bollywood juga bakal kerugian jutaan dolar jika mereka perlu membatalkan penggambaran filem yang sudah ditandatangani Salman.

Salman dijangka membuat rayuan di mahkamah tinggi dan memohon ikat jamin sementara menunggu keputusan rayuan.

Selepas keputusan diumumkan, beberapa aktor Bollywood menggunakan laman Twitter untuk menyatakan sokongan kepada Salman.

“Apa sahaja dakwaan orang ramai atau mahkamah, Salman tidak sepatutnya menerima layanan seperti ini,” kata aktor Bollywood terkenal, Arjun Kapoor.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2015 @ 8:21 AM