Oleh Isma Ismail

Johor Bahru: Sebuah kedai nombor ekor di Taman Puteri Wangsa, di sini, kerugian RM50,000 selepas disamun empat lelaki, 2.45 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, seorang suspek menggunakan tukul dan dua lagi dilihat memegang objek menyerupai pistol.

Menurutnya, tiga suspek itu menyerbu masuk ke premis berkenaan dan mengarahkan seorang daripada lima pekerjanya membuka peti besi sebelum mengambil wang tunai berjumlah RM50,000.

"Siasatan mendapati selain tiga suspek yang masuk ke dalam premis, terdapat seorang lagi lelaki menunggu di luar kedai terbabit.

"Kesemua suspek berkenaan dipercayai menggunakan motosikal dan kereta," katanya.

Menurutnya, semua pekerja premis itu tidak dicederakan.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2015 @ 11:09 PM