Oleh Suraya Roslan
surayaroslan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: "Masa depan (Nur Fitri Azmeer) masih panjang dan kita wajib menolongnya bukan berterusan dan selama-lama mengutuk,” tegas Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Tan Sri Annuar Musa.

Beliau mengulas mengenai pelajar tajaan MARA Nur Fitri Azmeer Nordin, 23, yang kini dihukum penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Southwark Crown, London kerana kesalahan memiliki lebih 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak.

Penuntut jurusan Matematik Kolej Imperial London itu kini menerima kecaman pelbagai pihak selepas Ahli Majlis MARA Nazir Hussin Akhtar Hussin dilaporkan berkata mahu memberi peluang kedua kepada pelajar itu untuk menyambung pelajaran di mana-mana institusi MARA.

Bagaimanapun, kenyataan Nazir Hussin menerima kecaman orang ramai seterusnya melancarkan kempen #NoSecondChance di media sosial sebagai tanda tidak bersetuju dengan langkah MARA itu.

Annuar berkata, MARA masih belum memutuskan kedudukan Nur Fitri Azmeer berikutan kini pelajar itu sedang menjalani hukuman penjara di London.

Katanya, MARA belum putuskan apa-apa berkaitan kedudukan (Nur Fitri) selepas (selesai menjalani) hukuman.

"Buat masa ini beliau dianggap pelajar tajaan MARA di luar negara dan kita masih membantu atas dasar kemanusiaan dan warganegara Malaysia," katanya dipetik menerusi akaun rasmi Facebooknya.

Katanya, jika semua pihak hanya mengambil pendirian mengecam pelajar terbabit, kesilapan lalu yang dilakukannya mungkin tidak dapat dipulihkan.

"Apakah kita harus kondem (kecam) selama-lamanya seseorang pesalah? Ramai pesalah kes dadah, Aids yang lebih serius gagal dipulihkan kerana kita mengambil sikap kondem (kecam) dan tidak membantu anak muda.

"Apa lagi kes yang terkait gangguan mental, perlu sokongan dan rawatan bukan kecam," katanya.

Menurutnya, secara peribadi beliau berpendapat anak muda itu perlu dibantu menjalani pemulihan dan seterusnya meneruskan pelajaran sama ada bawah tajaan atau tidak.

"Saya berharap pihak tertentu termasuk pemimpin yang kelihatan terburu-buru membuat kenyataan tanpa berfikir panjang supaya lebih berhati-hati dan sensitif.

€œMembantu rakyat yang bermasalah adalah tanggungjawab kita, kondem (kecam) harus ada batasnya, Allah SWT memaafkan dan siapalah kita (untuk tidak memaafkan),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2015 @ 8:17 PM