FOTO ihsan pembaca
Oleh Ainul Fatihah Mansor
am@hmetro.com.my


Putrajaya: Majlis Amanah Rakyat (MARA) menegaskan mengekalkan tindakan yang diambil terhadap penuntut Malaysia pintar Matematik, Nur Fitri Azmeer Nordin, 23, iaitu menamatkan pinjaman pelajaran serta-merta.

Malah, Nur Fitri juga dikehendaki membayar balik keseluruhan pinjaman yang sudah disalurkan sebelum ini.

Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat MARA, Rohayah Mohd Zain berkata, pihaknya memandang berat atas kesalahan yang dilakukan mana-mana penuntut di bawah tajaannya bagi memastikan hasrat negara dalam melahirkan modal insan cemerlang serta berintegriti dapat dicapai.

"MARA menggantung pinjaman pelajaran Nur Fitri sejak November 2014 iaitu selepas ditahan reman atas pertuduhan itu.

"Selepas dia didapati bersalah dan dijatuhi hukuman, pinjaman itu ditamatkan serta-merta dan dikehendaki membayar balik keseluruhan pinjaman yang sudah disalurkan," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Kenyataan akhbar itu dikeluarkan bagi menafikan kenyataan dibuat ahli Majlis MARA, Nazir Hussin Akhtar Hussin yang dilaporkan berkata, penuntut berusia 23 tahun itu akan diberi peluang meneruskan pengajian di mana-mana institusi MARA dalam negara selepas selesai menjalani hukuman dan kembali ke tanah air.

Beliau dipetik berkata, secara peribadi beliau selaku ahli majlis MARA bersetuju jika peluang kedua diberikan kepada Nur Fitri selepas selesai menerima hukuman.

Berdasarkan laporan portal United Kingdom International Business Times, Nur Fitri dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Southwark Crown, London selepas disabit dengan 17 kesalahan memiliki, membuat dan menyebarkan gambar lucah kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2015 @ 4:21 PM