Salman tiba di Mahkamah Sesyen Mumbai hari ini. FOTO AFP

Mumbai: Bintang Bollywood Salman Khan berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan dijangka ditahan bermula hari ini selepas dia didapati bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini dalam kes langgar lari yang menyebabkan seorang gelandangan terbunuh dan empat lagi cedera pada 2002.

Hakim DW Deshpande mendapati pelakon berusia 49 tahun itu bersalah merempuh gelandangan berkenaan sebelum melarikan diri.

Bagaimanapun, hukuman dijangka diputuskan petang ini.

Salman yang mendakwa pemandunya bertanggungjawab terhadap kemalangan itu tiba di Mumbai semalam dari Kashmir, tempat dia menjalani penggambaran untuk filem terbarunya, Bajrangi Bhaijaan.

Dia dibawa ke mahkamah pagi tadi oleh pemandunya Ashok Singh.

Singh dalam keterangannya kepada mahkamah sebelum ini berkata, dia yang memandu kereta berkenaan pada hari kejadian, bukan Salman.

Pendakwa raya mendakwa mempunyai bukti kukuh menunjukkan Salman mabuk dan memandu keretanya pada malam 28 September 2002 apabila dia gagal mengawal kenderaan itu dan merempuh beberapa gelandangan yang tidur di luar sebuah kedai roti.

Pendakwa raya juga mendakwa Salman melarikan diri dari tempat kejadian.

Salman ketika membela dirinya pada perbicaraan lalu memberitahu mahkamah, kes yang difailkan ke atasnya adalah palsu.

“Saya tidak mabuk. Bukan saya yang memandu. Pemandu saya Ashok Singh yang memandu. Saya berada di tempat kejadian selama 15 minit selepas kemalangan itu,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2015 @ 2:45 PM