WAJAH teruja Demi melihat reaksi hebat peminat.
DEMI Lovato lincah dan bertenaga di pentas.
HANYA perlukan pentas ringkas tanpa prop gah.
Oleh Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


Penyanyi berbakat besar ini pernah berkata tidak lama dulu bahawa dia bukan sekadar mahu menyanyi semata-mata untuk konsert jelajahnya, tetapi ingin memberi inspirasi kepada peminat.

Bukan satu tanggungjawab yang mudah kerana pastinya banyak penjuru lain penyebab kedatangan peminat ke konsertnya.

Ada yang sekadar mahu berhibur, melihat kemampuannya menyanyi secara langsung atau lain-lain namun jelas Demi Lovato atau nama penuhnya Demetria Devonne Lovato, 22, berjaya melunaskan niatnya itu, malam kelmarin.

Bertandang kali kedua ke Malaysia untuk konsert Demi Lovato World Tour Live in Kuala Lumpur di KL Live, memang berbaloi datang menontonnya.

Sukar untuk membayangkan dia sebenarnya baru berusia 22 tahun tatkala melihat bagaimana dia menguasai pentas KL Live di hadapan lebih 1,500 penonton.

Demi tidak perlukan pentas gah pun kerana dengan vokal serta gaya profesionalnya saja sudah mampu membuktikan dia penghibur luar biasa.

Apapun, ada elemen yang lebih mengagumkan terpancar pada setiap sudut persembahannya di mana benarlah katanya paling penting penonton ikut terinspirasi.

Apatah lagi, sisi perjalanan hidupnya baik karier mahupun peribadi terlalu banyak ranjau dan tentu sekali pengalaman itu ingin dikongsikannya.

Pada persembahannya menerusi lagu Warrior, dia sendiri mengambil sedikit masa untuk mengikat emosi penonton terhadapnya.

Sempat memberikan kata-kata semangat terhadap semua penonton, terserlah telus hatinya meminta penonton agar sentiasa mensyukuri diri sendiri dan kehidupan.

“Dalam hidup ini, kita semua berhak mendapat kebahagiaan dan layak menjadi orang yang gembira setiap masa. Masing-masing mempunyai keunikan dan cantik dalam cara tersendiri,” katanya.

Kali terakhir menontonnya sewaktu menjayakan sebuah konsert di sini pada 2013, penyanyi Made In USA itu meninggalkan impak tersendiri apabila persembahannya cukup hebat.

Malam kelmarin, Demi sekali lagi membuktikan bahawa letih bukan alasan untuknya beraksi luar biasa di pentas.

Cukup bertenaga, daripada lagu pertama lagi iaitu Really Don’t Care, dia sudah memberikan persembahan vokal secara ‘all out’ dan terus cemerlang untuk lagu seterusnya.

Tidak sukar baginya untuk mengikat momentum keterujaan penonton memandangkan banyak lagu dinyanyikan memang mesra di telinga.

Melihat kelincahannya di pentas juga ternyata menyalurkan getaran kepada penonton untuk terus menumpukan perhatian ke pentas meskipun sewaktu lagu yang kurang dihafal.

Penonton sedaya-upaya juga untuk menyanyikannya bagi menunjukkan betapa masing-masing menghayati setiap bait lirik nyanyiannya.

Mana tidaknya, meneliti setiap penghayatannya menyanyi membuktikan Demi memang sangat bersatu dan mendalami makna semua lagunya. Begitulah hebatnya penyanyi berkenaan menghubungkan peminat dengan dirinya hanya menerusi bait-bait lagu.

Bukan sekadar bernyanyi, dia tidak ketinggalan untuk bermain instrumen gitar bagi memperlahankan sedikit ‘mood’ pentas yang persembahannya diiringi sepenuhnya sebuah band.

Sesekali duduk dan lebih rileks, penyanyi terbabit bijak menggamit emosi penonton dengan lagu berentak ‘mellow’ termasuklah Nightingale.

Tentu sekali paling dinanti-nanti, sebaik lagu tema filem Frozen iaitu Let It Go didendangkan, serta-merta keseluruhan ruangan itu kembali hangat dengan jeritan penonton.

Ternyata lagu itu memang benar-benar menggamatkan suasana di mana penonton daripada kalangan peminat cilik terutamanya kelihatan menyanyi bersungguh-sungguh.

Tidak ketinggalan, lagu lain yang turut dinyanyikan Demi termasuklah The Middle, Fire Starter, Remember December, Heart Attack, My Love is Like a Star, Don’t Forget, Catch Me, Two Pieces dan Got Dynamite.

Menjadi antara lagu terakhir pada malam berkenaan iaitu Skyscraper dan Give Your Heart a Break, mengagumkan apabila tenaga disalurkan penonton masih lagi luar biasa.

Tidak langsung menunjukkan tanda letih meskipun kebanyakannya berdiri, penonton tidak mahu melepaskan peluang menyanyi bersama-sama Demi.

Bagaimanapun, tentu sekali menjadi antara lagu kegemaran dan dinantikan peminat, ada juga lagu yang tidak didendangkan Demi seperti Made in USA ataupun mana-mana lagu hasil kolaborasinya termasuklah Somebody To You bersama The Vamps.

Seperti biasa, mengambil sedikit masa untuk ke belakang pentas meninggalkan penonton bersorak memanggilnya semula dan mahukan lebih lagu, Demi menutup tirai konsert malam itu dengan lagu Neon Lights.

Berlangsung selama satu jam setengah, jelas penonton rata-rata pulang dengan kepuasan yang tidak terhingga lantaran persembahan terbaik Demi.

Penyanyi itu mengakui sangat gembira dengan sokongan luar biasa penonton yang hadir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2015 @ 12:50 PM