HUNNY (kiri), Stefanie (tengah) dan Julie bersama anak masing-masing.
Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my


TGV Cinemas melancarkan satu konsep baru untuk menonton wayang bagi seisi keluarga yang diberi nama TGV Ci­nemas ‘Family Friendly’.

Konsep baru ini menyasarkan ibu bapa untuk menonton wayang bersama anak kecil mereka dan ia dibuka kepada orang ramai bermula Sabtu lalu di TGV 1 Utama, Bandar Utama, Petaling Jaya.

Merasai suasana yang ekslusif, TGV Cinemas ini begitu mesra keluarga di mana ia menyediakan suasana yang kondusif untuk ibu bapa dan anak mereka dalam membabitkan diri dengan satu sama lain.

Di samping itu, ia membuatkan anak yang menonton merasa selesa tanpa sebarang gangguan dengan bunyi audio diperlahankan dan nyalaan lampu sederhana di dalam panggung ketika mereka menonton.

Lebih menarik lagi, turut disediakan meja persalinan lampin pakai buang bayi bagi kemudahan ibu bapa.

Malah, di luar pawagam TGV Cinemas sudah menetapkan syarat menarik yang pasti membuatkan ibu bapa berasa selesa membawa anak mereka menonton wayang bersama-sama.

Antaranya ialah mereka anak bebas untuk bergerak di dalam panggung serta bercakap atau bertanya apa juga soalan yang mereka ingin tahu ketika menonton sesebuah filem.

Pengurus Pemasaran Kanan TGV Cinemas Celeste Koay berkata, sering berlaku apabila ibu bapa enggan membawa anak mereka ke panggung wayang kerana bimbang kanak-kanak berkenaan memberi gangguan kepada penonton wayang yang lain.

“Melalui konsep baru ini, ibu bapa boleh datang menonton ke pawagam dengan lebih kerap lagi tanpa perlu rasa bimbang kerana konsep pawagam ini memang khusus diadakan untuk mereka.

“Kami juga sedang merancang filem akan datang yang lebih menarik bersesuaian dengan kanak-kanak di samping ia juga peluang ibu bapa mendekati minat anak terhadap karakter filem yang mereka gemari,” katanya.

Setiap filem juga sudah dipilih bersesuaian dengan ibu bapa dan anak yang hendak menontonnya.

Pada majlis pelancaran itu, lebih 150 orang ibu bapa turut hadir tidak ketinggalan juga beberapa selebriti seperti pengacara dan pe­nyanyi Hunny Madu, Yasmin Hani, pengacara Julie Woon dan bekas naib juara pertama Miss World Malaysia 2009 Stefanie Chua yang hadir bersama anak mereka.

Pada majlis itu juga ibu bapa disajikan dengan filem blockbuster The Avengers: Age of Ultron .

Buat masa sekarang, TGV Cinemas ‘family friendly’ hanya terdapat di TGV Cinemas 1 Utama pada hujung minggu saja dan ia bakal diwujudkan di lokasi yang lain tidak lama lagi.

Tiket boleh didapati di laman web www.tgv.com.my atau beli terus di TGV Cinemas 1 Utama pada harga RM7 untuk ibu bapa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2015 @ 12:30 PM