SEORANG wanita yang setia kepada Presiden Abed Rabbo Mansour Hadi memegang senjata di kediamannya.

Sanaa: Penduduk di Aden semalam berkata, pertempuran terbaru di bandar raya berkenaan menyebabkan ratusan lagi orang kehilangan tempat tinggal ketika pemberontak Houthi meningkatkan serangan untuk menawan lebih banyak kawasan di bandar pelabuhan di selatan Yaman itu.

Selepas terperangkap beberapa minggu di rumah mereka di daerah Tawahi, sebahagian besar penduduk berkata, mereka meninggalkan rumah masing-masing apabila pemberontak berkenaan, bersama-sama sekutu mereka - unit tentera yang setia kepada bekas Presiden Ali Abdullah Saleh - mengebom kawasan berkenaan.

Seorang penduduk, Mona Mohsen berkata, panik dan bunyi tembakan menyebabkan orang ramai meluru keluar dari rumah masing-masing, semalam.

Dalam pada itu, pakatan Arab yang diketuai Arab Saudi terus mengebom kedudukan Houthi.

Kempen serangan udara itu yang bermula 26 Mac lalu dan pertempuran yang berlaku di darat sudah meragut ratusan nyawa dan menyebabkan 300,000 orang kehilangan tempat tinggal.

Arab Saudi kelmarin berkata, ia menimbang mengadakan gencatan senjata untuk membolehkan bantuan kemanusiaan dihantar ke Yaman.

Sementara itu, Raja Saudi mengumumkan semalam mengenai penubuhan sebuah pusat untuk menyelaras bantuan kemanusiaan dan mempelawa Pertubuhan Bangsa-Bangsa menyertainya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2015 @ 8:14 AM