SALMAN

Mumbai: Salman Khan, bintang Bollywood yang terkenal dengan bentuk badan sasa dan sikap panas baran di luar filem bakal berdepan hukuman penjara jika didapati bersalah kerana memandu dalam keadaan mabuk dan merempuh sekumpulan gelandangan 12 tahun lalu hingga menyebabkan seorang terbunuh.

Dalam kejadian pada 2002 itu, kenderaan yang dipandu pelakon filem ‘Bodyguard’ dan ‘Dabangg’ itu didakwa hilang kawalan kerana dia mabuk selepas minum arak di sebuah bar mewah di Mumbai.

Dia kemudian melarikan diri dari tempat kejadian.

Selepas sekian lama dibicarakan, hakim yang membicarakan kes itu akan mengumumkan keputusannya terhadap pelakon berusia 49 tahun itu hari ini atas tuduhan membunuh tanpa niat.

Jika didapati bersalah, dia boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun.

Perbicaraan kes itu, walaupun mengambil masa sekian lama, mendapat liputan meluas media India.

Salman mengaku tidak bersalah, sebaliknya mendakwa pemandunya yang bertanggungjawab dalam kemalangan yang menyaksikan Toyotan Land Cruiser miliknya merempuh laluan pejalan kaki tempat lima lelaki tidur di hadapan sebuah kedai roti di Bandra Barat, pinggir Mumbai.

Seorang gelandangan yang cedera dalam kemalangan itu memberitahu mahkamah sebelum ini: “Salman terlalu mabuk sehingga dia terjatuh. Dia cuba berdiri, tetapi jatuh lagi. Dia kemudian melarikan diri.”

Bagaimanapun menurut peguamnya, bintang komedi romantis itu hanya meminum air sepanjang malam sebelum kejadian dan terpaksa keluar melalui tempat duduk pemandu kerana pintu sebelah penumpang rosak. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2015 @ 8:00 AM