Kuala Lumpur: Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS 2015) yang berlangsung selama empat hari pada bulan lalu berjaya meraih hasil jualan keseluruhan berjumlah RM1.1 bilion.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dalam kenyataannya semalam menyatakan daripada jumlah itu, hasil jualan sebanyak RM655.8 juta dijana oleh pameran manakala baki RM443.2 juta menerusi acara sehari misi belian akan datang MIHAS (IBM).

Acara IBM itu berjaya menarik 487 pembeli asing merangkumi 307 syarikat daripada 41 negara.

Selain itu, acara itu turut menyaksikan sebanyak 2,787 mesyuarat perniagaan yang dirancang awal antara syarikat antarabangsa dan 850 pengeksport Malaysia daripada 465 syarikat tempatan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Dzulkifli Mahmud berkata, MATRADE sebagai agensi promosi perdagangan Malaysia akan terus mengadakan usaha penggalakkan produk halal dan perkhidmatan ke pasaran antarabangsa.

“Kami turut bekerjasama erat dengan rakan negara seperti di ASEAN, Eropah, Afrika, Korea Selata dan Jepun,” katanya.

MIHAS adalah sebahagian daripada Sidang Kemuncak Halal Sedunia 2015 yang julung kali diadakan dengan penganjuran program termasuk persidangan disertai 82 penceramah berpengaruh dan panel dari 18 negara yang membincangkan pelbagai topik bagi pembangunan halal global pada masa depan.

Malah MIHAS 2015 yang disertai 549 pempamer tempatan serta antarabangsa dari 20 negara, berjaya menarik seramai 23,107 pengunjung iaitu peningkatan 10.4 peratus berbanding edisi tahun lepas. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2015 @ 7:49 AM