Kemalangan yang mengorbankan Penyelia Bahagian Buku Teks Jabatan Pendidikan Pahang. FOTO ihsan bomba
Oleh Syazwan Msar
am@hmetro.com.my

Muadzam Shah: Seorang Penyelia Bahagian Buku Teks Jabatan Pendidikan Pahang maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki bersama suami serta tiga anaknya bertembung dengan pacuan empat roda dalam kejadian di Kilometer 105, Jalan Kuantan-Segamat berhampiran Paloh Hinai, di sini, malam tadi.

Kejadian kira-kira 8 malam itu menyebabkan mangsa, Norinah Bukari, 43, dari Taman Berjaya Permai, Kuantan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Anak sulung mangsa, Mifzal Ismail, 19, dilaporkan dalam keadaan koma manakala suami mangsa, Ismail Samad, 51, dan dua lagi anaknya, Nurhazilah Ismail, 17, serta Nursyazwina Ismail, 14, cedera dan dirawat di Hospital Muadzam Shah.

Pemangku Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang Asisten Superintendan Zainalabidin Othman berkata, sebelum kejadian lima beranak yang menaiki Proton Exora itu dalam perjalanan ke Kuantan dari Segamat.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki secara tiba-tiba hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan MPV yang dipandu Ismail.

"Pertembungan itu menyebabkan kereta berkenaan remuk teruk dan Norinah meninggal dunia di tempat kejadian manakala anak sulungnya parah. Suami serta dua lagi anak mangsa hanya cedera," katanya ketika dihubungi di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2015 @ 2:09 PM