SEBAHAGIAN peserta yang menghadiri seminar.
Oleh Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my


Jihad Memerangi Orang Tengah (JMOT) salah satu lagi usaha dan inisiatif di bawah Program Transformasi Pertanian (ATP) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dalam membela serta memperkasa nasib golongan petani di negara ini.

Masalah orang tengah yang dikatakan menindas petani bukanlah satu isu yang baru, malah berakar umbi sekian lama dalam kalangan masyarakat kita. Orang tengah atau peraih yang menguasai rantaian ini melalui manipulasi harga, timbangan dan bekalan input membuatkan sebahagian besar petani terikat dengan hutang yang panjang.

Aktiviti orang tengah yang kian berleluasa inilah mengakibatkan petani hidup dalam kerugian, memperoleh keuntungan kecil dan kebergantungan yang tinggi terhadap orang tengah.

Situasi ini turut memberi kesan kepada harga barang dan pengguna. Isu ini dilihat amat serius dan perlu ditangani dengan segera demi membela nasib petani yang menjadi mangsa penindasan orang tengah.

Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Ahmad Zakaria Mohamad Sidek berkata, pasar tani yang dilancarkan pada 31 Januari 1985 bertujuan mewujudkan ruang pasaran tersendiri bagi petani atau pengeluar untuk memasarkan hasil pengeluaran mereka terus kepada pengguna.

Sehubungan itu, katanya, bermula 1 Jun ini, kira-kira 25,000 peniaga di 580 pasar tani di seluruh negara disarankan supaya tidak mengambil bekalan daripada pemborong bagi mengelak berlaku kegiatan itu.

“Langkah ini diharap mampu mengurangkan harga barangan keperluan asas tani yang segar, kering dan diproses antara lima hingga 20 peratus berbanding harga sedia ada dan secara tidak langsung, petani menikmati pendapatan lebih tinggi dan mengelakkan mereka daripada terus menjadi mangsa.

“Peniaga di pasar tani lebih cenderung untuk mendapatkan bekalan daripada pemborong kerana lama berurusan termasuk membuat pinjaman perniagaan. Bagi mengembalikan semula peranan pasar tani seperti pada awal penubuhannya, peniaga pasar tani digesa untuk mengambil hasil pertanian secara terus daripada pengeluar tanpa melalui pemborong.

“MOA bakal menyediakan 200 pusat pengumpulan bekalan makanan asas di seluruh negara bagi memudahkan peniaga di pasar tani mendapatkan bekalan tanpa membabitkan orang tengah. Jabatan dan agensi yang terbabit dengan pengeluaran akan bertindak memastikan bekalan mencukupi dan memenuhi keperluan peniaga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Jualan Terus Hasil Ladang Ke Pasar Tani di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Hadir sama, Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Ahmad Ishak.

Ahmad Zakaria berkata, petani yang tidak berkesempatan berniaga akan menghantar hasil ladang mereka ke pusat pengumpulan yang berdekatan. Langkah ini sebahagian daripada tindakan kementerian untuk memerangi pembabitan orang tengah dan bertepatan dengan usaha kerajaan untuk meringankan kos sara hidup rakyat.

“Kita bakal mengadakan seminar jualan terus hasil ladang ke pasar tani di seluruh negara yang bertujuan memberi penerangan kepada petani berkenaan pembekalan hasil ladang terus ke pasar tani bagi memastikan pembekalan hasil ladang ke pasar tani mencukupi.

Selain itu, katanya, ia bagi memastikan pihak yang terbabit memahami pelaksanaan mekanisma pembekalan dan penentuan harga hasil ladang terus ke pasar tani.

Pada program itu, lebih 300 peserta menghadiri seminar dua hari bagi mendapatkan gambaran secara lebih jelas berkenaan pelaksanaan program jualan terus hasil ladang ke pasar tani.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2015 @ 1:53 PM