FARHAN (kanan) bersama Gary menjalani latihan pasukan kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Kelana Jaya: Kecil jangan disangka anak, itulah yang ingin dibuktikan pemain muda, Farhan Roslan sebaik saja mendapat panggilan pengendali skuad kebangsaan, Dollah Salleh bagi persiapan Piala Suzuki AFF 2014 bulan depan.

Farhan yang baru berusia 17 tahun berjaya memikat Dollah terutama ketika saingan suku akhir dan separuh akhir Piala Malaysia baru-baru ini bersama pasukan negeri kelahirannya, Kedah.

“Ini pengalaman baru buat saya kerana dapat panggilan skuad kebangsaan,” kata pemain yang digelar ‘Messi Kedah’ itu selepas sesi latihan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam.

Pemain kelahiran Alor Setar itu berkata, dia memang mengimpikan untuk mewakili Malaysia dan sekarang ini situasi itu ibarat bulan jatuh ke riba.

“Saya cuba buat yang terbaik walaupun saya bersaiz kecil, saya akan memberi tentangan kepada mereka yang lebih senior dan besar dari saya.

“Tidak ada masalah jika seseorang pemain itu bertubuh kecil, namun saya akui sedikit gementar bila berlatih bersama pemain senior,” katanya.

Farhan yang akan menjangkau usia 18 tahun pada 3 Disember ini mengakui, aksi cemerlang pada separuh akhir ketika menentang Pahang menjadi punca utama dia dipanggil berlatih bersama skuad Harimau Malaya.

“Saya akan tunjukkan kepada jurulatih apa yang saya ada, saya mempunyai keyakinan untuk melakukan yang terbaik dalam skuad kebangsaan,” kata pemain yang menjadikan Lionel Messi sebagai idolanya.

Selain berasa puas dapat dipanggil berlatih bersama skuad kebangsaan, Farhan juga tidak sabar untuk bergandingan bersama idolanya dalam kalangan pemain tempatan, Safiq Rahim.

Safiq masih belum menyertai kem latihan skuad ke bangsaan kerana perlu menyelesaikan tugas penting mem bantu pasukannya, Johor Darul Ta’zim (Johor DT) bersaing dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2014 menentang Pahang Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Oktober 2014 @ 5:07 AM