Baku: Gergasi minyak dan gas Malaysia, PETRONAS selesai mengambil alih aset berkaitan minyak dan gas di Azerbaijan selepas menandatangani perjanjian jual beli dengan Statoil yang berpangkalan di Norway, pada Oktober tahun lalu.

Pengerusi Negara Azerbaijan bagi PETRONAS, Zainal Abidin Zainudin berkata, PETRONAS menyelesaikan urus niaga itu pada 30 April dan kini memiliki secara rasmi 15.5 peratus kepentingan dalam perjanjian perkongsian pengeluaran Shah Deniz di Laut Caspian, 12.4 peratus dalam Azerbaijan Gas Supply Co serta 15.5 peratus dalam South Caucasus Pipeline Co.

Sebelum ini dilaporkan Statoil menjual pegangannya dalam projek Shah Deniz dengan nilai AS$2.25 bilion. Perjanjian itu adalah pembelian ketiga terbesar PETRONAS selepas pengambilalihan Progress Energy Resources di Kanada bernilai AS$5.7 bilion pada 2012 dan projek LNG (gas asli cecair) Gladstone di Australia bernilai AS$2.5 bilion pada 2008.

Beliau berkata, pembelian itu meletakkan PETRONAS pada kedudukan strategik dalam medan pengeluaran di Azerbaijan, negara yang kaya minyak, apabila syarikat terbabit dalam projek pembangunan bernilai sekitar AS$38 bilion.

“Pengambilalihan ini adalah sebahagian strategi kami untuk menunjukkan kehadiran kami di sini dan ia sebahagian strategi jangka panjang kami dalam mengembangkan perniagaan di sini,” katanya ketika ditemui di kediaman Duta Besar Malaysia ke Azerbaijan Datuk Roslan Abdul Rahman.

Jamuan malam itu sebagai meraikan delegasi Malaysia yang diketuai Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah ke Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN Campur Tiga ke-18 (AFMGM+3) dan Mesyuarat Tahunan Bank Pembangunan Asia (ADB) yang berlangsung dari 2 hingga 5 Mei di sini.

Zainal Abidin berkata, projek seterusnya mungkin dalam industri hiliran memandangkan Azerbaijan tidak mempunyai projek petrokimia, selain memanfaatkan potensi Caucasus yang merupakan pengeluar terbesar minyak dan gas dunia. -BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2015 @ 7:51 AM