Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my

Bijak berkomunikasi dan mencari topik perbincangan sesuai dengan anak setiap kali mempunyai peluang, mampu memupuk sikap lebih terbuka dalam hubungan ibu bapa dengan anak mereka, sekali gus mengeratkan keluarga.

Anak berasa lebih rapat dan selamat untuk meluahkan apa saja yang terbuku di hati atau persoalan yang bermain di fikiran mereka.

Ini seterusnya memberi kebaikan kepada kedua-dua pihak. Ibu bapa sebagai orang dewasa yang lebih arif dan menyayangi anak mampu memberikan nasihat bernas sekiranya anak memerlukan bimbingan.

Ia juga dapat mengelak anak daripada mendapatkan sumber jawapan permasalahan mereka daripada rakan sebaya yang mungkin kurang matang atau berniat serong, sekali gus melindungi anak daripada anasir negatif.

Menurut penulis buku keibubapaan, 'Childhood Unbound: Authoritative Parenting for the 21st Century', Dr Ron Taffel, sifat lebih terbuka dalam hubungan ibu bapa dan anak amat penting bagi generasi kini kerana mereka lebih terdedah dengan pelbagai unsur luaran termasuk kemudahan Internet tanpa sempadan.

Berikut disenaraikan tip oleh Taffel sebagai panduan ibu bapa untuk menjayakan komunikasi dengan anak masing-masing:

-Mencari masa untuk berbual apa saja

Ibu bapa tidak perlu berbual hal yang serius atau berat setiap kali berkomunikasi, tetapi mereka boleh berkongsi apa saja. Ini akan mengeratkan hubungan selain memupuk perasaan rapat serta mampu meluahkan apa saja dalam diri anak.

Ketika berbual kosong, mungkin ketika itu timbul rasa selesa dalam diri anak untuk meluahkan sebarang perkara penting atau meminta nasihat daripada ibu bapa.

-Amalkan waktu berbual

Perhatikan masa sesuai anak berbual. Kemungkinan ada anak yang gemar bercakap waktu pagi atau ada anak yang tidak suka ditanya pelbagai soalan.

Ini membantu ibu bapa untuk mendekati anak dengan cara paling disukai anak seterusnya memudahkan perbualan.

Ibu bapa perlu mewujudkan tabiat berbual dengan anak setiap hari sekurang-kurangnya ketika bersarapan atau sebelum tidur bagi membina hubungan rapat dengan mereka.

-Menjadi seorang individu

Apabila berbual, berikan tindak balas dengan emosi sebenar. Jangan sesekali terlalu emosi atau tiba-tiba bertindak seperti pakar terapi.

Mendengar setiap luahan anak atau menceritakan kisah sendiri ketika kecil membuatkan anak berasa ibu bapa dapat memahami mereka.

Ibu bapa sentiasa perlu mengambil tahu mengenai anak mereka dan mengikuti perkembangan mereka setiap hari.

-Didik anak memahami emosinya

Bantu anak menceritakan perasaannya. Kita terlalu memikirkan mengenai akademik sehingga terlupa pengurusan emosi juga sangat penting.

Masalah lebih mudah diselesaikan apabila anak dapat menceritakan perasaannya dengan tepat dan mencari penyelesaian secara bersama dengan ibu bapa.

Bertanya soalan yang tepat misalnya 'apa yang berlaku seterusnya?' menunjukkan ibu bapa berminat dengan apa yang diceritakan si anak.

-Perincian sangat penting

Ibu bapa perlu beri perhatian kepada perkara kecil supaya apabila wujud sebarang masalah, ia dapat disedari dengan cepat.

Anak selalunya berasa takut apabila ibu bapa cuba bertanya terlalu serius, tetapi perhatian teliti daripada ibu bapa boleh merungkai permasalahan yang timbul dengan sendirinya.

-Lebih terbuka mengenai diri sendiri

Ibu bapa perlu lebih terbuka apabila bercakap mengenai diri sendiri sekiranya mereka mahu anak mereka juga bersikap terbuka.

Mulakan perbualan dengan bercerita mengenai diri sendiri dan ini boleh menyebabkan anak teringat apa yang mereka alami sebelum itu dan turut sama bercerita.

Misalnya, ceritakan mengenai pertengkaran dengan rakan sekerja dan itu mungkin boleh membuka peluang kepada anak-anak bercerita apa yang berlaku di sekolah mereka.

-Berikan nasihat

Anak sentiasa memerlukan bimbingan daripada ibu bapa untuk mencari arah mereka dalam hidup. Setiap kali selepas perbualan, tawarkan nasihat kepada mereka mengenai perkara yang sepatutnya dilakukan dalam setiap situasi.

Jangan sesekali marah atau berleter, tetapi berikan nasihat dengan tulus tanpa membandingkannya dengan zaman kecil ibu bapa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Oktober 2014 @ 5:05 AM