HARRISON Ford ketika melawat orang utan di Indonesia.
ARNOLD Schwarzenegger bersama pasukan bomba.
PRODUSER eksekutif James Cameron, Jerry Weintraub, David Gelber, Joel Bach dan Arnold Schwarzenegger.
Oleh Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my

Menghasilkan dokumentari mengenai pemanasan global mungkin kurang mendapat sambutan kerana program sedemikian banyak disiarkan di kaca televisyen.

Namun, dengan mengetengahkan konsep berlainan pastinya menarik perhatian penonton, sekali gus matlamat untuk menyedarkan masyarakat mengenai masalah itu tercapai.

Begitulah pendekatan diambil pencipta dokumentari Years of Living Dangerously, Joel Bach dan David Gelber dengan membabitkan beberapa bintang popular Hollywood dalam program itu.

Kini bersiaran di saluran National Geographic, Years of Living Dangerously menampilkan selebriti Jessica Alba, Matt Damon, Harrison Ford, America Ferrera, Mark Bittman dan Arnold Schwarzenegger turun padang bertemu pelbagai pihak bagi membincangkan isu perubahan iklim.

Bercerita mengenai dokumentari sembilan episod itu, Bach ketika ditemu bual menerusi panggilan telefon, baru-baru ini berkata, pada mulanya dia dan Gelber merancang menghasilkan filem berkaitan perubahan iklim.

“Kami kemudian bertemu Produser Eksekutif Jerry Weintraub untuk memberitahu idea itu. Namun, Weintraub menasihati kami untuk menghasilkan dokumentari dalam bentuk siri televisyen kerana lebih ramai penonton,” katanya.

Menurut produser itu, dia dan Gelber menghasilkan beberapa dokumentari berkaitan perubahan iklim bagi program televisyen 60 Minutes yang berkonsepkan laporan penyiasatan.

“Perubahan iklim masalah serius yang perlu dipandang serius oleh semua pihak. Banyak yang kami pelajari mengenai pemanasan global sepanjang tujuh tahun membuat laporan untuk 60 Minutes. Oleh itu, kami mahu masyarakat menyedari kesan pemanasan global terhadap manusia, “ katanya.

Bach berkata, mengumpul bahan untuk menghasilkan dokumentari itu bukannya mudah, malah turut berdepan banyak cabaran sepanjang penggambaran di beberapa lokasi di Amerika Syarikat, Bangladesh dan Indonesia.

“Cabaran pertama adalah untuk memikirkan cara menarik orang ramai menonton program ini. Sekiranya terlalu banyak fokus kepada laporan akan membosankan penonton.

“Mengenai topik pula, saya dan David (Gelber) mahu fokus dengan masalah yang lebih besar daripada ancaman habitat beruang kutub dan penguin. Jadi kami mencari isu pemanasan global membabitkan manusia dan mula membuat kajian mengenainya,” katanya.

Harrison Ford paling komited

Antara isu yang diketengahkan dalam Years of Living Dangerously adalah masalah gas rumah hijau akibat penebangan hutan di Indonesia, kemarau di Syria dan pertemuan dengan saintis untuk membincangkan pemanasan global.

Bach berkata, banyak penemuan mengejutkan sepanjang penggambaran.

“Salah satunya ialah pembakaran hutan secara meluas di Indonesia yang sememangnya amat mengejutkan. Selain itu, syarikat cari gali masih mahu mencari bahan bakar seperti minyak, gas dan arang batu walaupun sumber itu hampir pupus,” katanya.

Dalam pada itu, Bach kagum dengan komitmen pelakon Harrison Ford yang sudi meluangkan masanya menjayakan dokumentari itu walaupun jadual kerjayanya padat.

“Dia ke Indonesia selama dua minggu dan tambah seminggu lagi di California. Masa itu dianggap panjang bagi seorang selebriti Hollywood seperti Harrison. Selebriti lain turut memberi kerjasama baik dan menunjukkan minat mendalam terhadap isu terbabit.

“Arnold pula sanggup turun padang bersama pasukan bomba untuk melihat sendiri masalah sebenar pembakaran hutan,” katanya.

Ujarnya lagi, Years of Living Dangerously yang sudah ditayangkan di Amerika Syarikat tahun lalu mendapat sambutan baik dan mungkin akan mengadakan perbincangan untuk menghasilkan musim kedua dokumentari itu.

Episod pertama Years of Living Dangerously memaparkan Ford ke Indonesia dengan jet pejuang. Don Cheadle pula ke Texas, Amerika Syarikat untuk menyiasat kemarau teruk yang menjejaskan sumber pendapatan ribuan penduduk.

Tom Friedman pula ke Syria untuk menyiasat sekiranya masalah perubahan iklim disebabkan perang saudara yang melanda negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2015 @ 12:39 PM