PEMAIN Chelsea ceria rai kejayaan menewaskan Palace.
AFP

London: Eden Hazard menyumbat gol tunggal ketika Chelsea menundukkan Crystal Palace 1-0 di Stamford Bridge malam tadi bagi merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris pertama sejak 2010.

Bintang Belgium itu menanduk masuk bola muntah selepas penjaga gol Julian Speroni menampan sepakan penalti lemahnya pada minit ke-45 bagi merakam gol ke-19 musim ini dan membantu pasukan kendalian Jose Mourinho memastikan kejuaraan sekalipun masih berbaki tiga perlawanan.

Chelsea melonjak 16 mata di depan juara bertahan Manchester City, yang berkunjung ke Tottenham Hotspur lewat malam tadi dan Arsenal, yang bertandang ke Hull City awal pagi esok, bermakna mereka tidak boleh diatasi lagi.

Kejayaan itu, kejuaraan kelima kelab itu secara keseluruhan, menyusuli kemenangan Chelsea ke atas Tottenham Hotspur pada final Piala Liga Inggeris dua bulan lalu.

Ia memberikan Mourinho kejuaraan liga pertama bagi tempoh keduanya mengendalikan kelab itu selain kelapan sepanjang karier pengurusannya.

Kapten Chelsea, John Terry menyatakan pasukannya berjaya menamatkan keperitan selama lima tahun berikutan kejayaan malam tadi.

“Ini yang kami nanti-nantikan. Sudah lima tahun sejak kami kali terakhir memenanginya,” katanya.

“Kejuaraan pertama (2005) amat istimewa dan apabila anda tidak menang empat atau lima tahun, ia melukakan. Saya amat seronok hari ini.

“Ia satu perasaan yang sukar digambarkan,” jelas Terry yang mengemudi empat daripada lima kejuaraan Chelsea.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2015 @ 9:20 AM