RESTORAN Burger King di Seksyen 13, Shah Alam.

Kuala Lumpur: Ekuiti Nasional Berhad (EKUINAS), membuka peluang kepada mana-mana pihak untuk membeli kepentingan ekuitinya dalam Burger King, susulan penjualan saham dengan Brahim’s Holdings Bhd (Brahim’s) tidak berjaya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, langkah penjualan itu berikutan penstrukturan semula secara komprehensif portfolio makanan dan minuman (F&B) Ekuinas.

Katanya, Brahim’s membatalkan rancangannya untuk mengambil alih francais Burger King di Malaysia dan Singapura.

“Berikutan itu, EKUINAS mempelawa mereka yang berminat untuk membeli kepentingan ekuiti dalam Burger King dan dari segi harga ia masih ditawarkan pada nilai yang sama dipersetujui dengan Brahim’s.

“Bagaimanapun, pelaksanaan penstrukturan semula bagi portfolio F&B Ekuinas akan membolehkan kami mengembangkan lagi perniagaan restoran makanan kasual kami iaitu Tony Roma’s, Manhattan Fish Market dan jenama yang baru sahaja dilancarkan iaitu New York Steak Shack serta memberi tumpuan pengembangan rangkaian CoolBlog,” katanya pada sidang media selepas pengumuman pretasi kewangan 2014 Ekuinas di sini, semalam.

Pelupusan ini merekodkan kadar pulangan dalaman kasar (IRR) negatif sebanyak 21 peratus dan jumlah pelaburan diterima balik sebanyak 0.64 kali ganda modal yang dilabur menerusi dua dana.

Ekuinas memiliki 95 peratus ekuiti dalam Burger King Malaysia dan mengambil alih kepentingan 100 peratus dalam Burger King Singapura secara progresif pada 2011 dan 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2015 @ 8:04 AM