DIDIER Drogba, Branislav Ivanovic, John Terry dan Cesar Azpilicueta merai kemenangan Chelsea. FOTO Reuters

London: Chelsea hanya memerlukan gol tunggal untuk merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim 2014/15 selepas menundukkan Crystal Palace 1-0 di Stamford Bridge, malam tadi.

Kemenangan ke atas Crystal Palace dipastikan menerusi gol Eden Hazard yang menanduk masuk bola muntah selepas penjaga gol Julian Speroni menampan sepakan penalti pada minit ke-45.

Gol ke-19 buat pemain Belgium itu membantu pasukan kendalian Jose Mourinho memastikan kejuaraan sekalipun masih berbaki tiga perlawanan.

Chelsea melonjak 16 mata di depan juara bertahan Manchester City, yang berkunjung ke Tottenham Hotspur malam ini dan Arsenal, yang bertandang ke Hull City awal pagi Selasa ini, bermakna mereka tidak boleh diatasi lagi.

Kejuaraan ini adalah yang pertama bagi kelab itu sejak 2010 dan kelima secara keseluruhan.\

Ia menyusuli kemenangan Chelsea ke atas Tottenham Hotspur pada final Piala Liga Inggeris dua bulan lalu.

Ia juga adalah kejuaraan liga pertama bagi Jose Mourinho dalam tempoh keduanya mengendalikan kelab itu selain kelapan sepanjang karier pengurusannya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mei 2015 @ 11:56 PM