FLOYD Mayweather Jr.(tengah) meraikan kemenangannya. FOTO EPA

Las Vegas: Floyd Mayweather Jr berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah 49-0 apabila menewaskan Manny Pacquiao dengan keputusan sebulat suara dalam kejohanan tinju kelas welterweight dunia di Arena Grand Garden MGM, di sini, hari ini.

Mayweather, 38, berjaya mengekang asakan awal peninju Filipina Pacquiao, 36, dan memenangi pusingan seterusnya untuk mendahului ketiga-tiga papan markah juri dalam pertembungan yang digelar ‘terhebat abad ini’.

“Apabila buku sejarah ditulis, penantian ini amat berbaloi,” kata Mayweather mengenai perlawanan yang mengambil masa lima tahun untuk diatur.

Meskipun Pacquiao berulang kali memaksa Mayweather untuk berundur, peninju Amerika Syarikat itu menggunakan strategi bertahan dan membuat serangan balas dengan baik sekali.

Selepas mengharungi 12 pusingan, keputusan juri akhirnya memihak kepada Mayweather apabila juri Dave Moretti memberi markah 118-110, Glenn Feldman 116-112 dan Bert Clements 116-112.

Bagaimanapun, Pacquiao menegaskan dia sepatutnya memenangi perlawanan itu kerana Mayweather tidak melakukan apa-apa.

“Ia adalah perlawanan yang baik. Saya rasa saya patut menang. Dia (Mayweather) hanya mengelak,” katanya yang kini mempunyai rekod 57-5-3.

Mayweather dijangka membawa pulang wang kemenangan berjumlah 120 juta USD (RM431 juta). - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mei 2015 @ 5:23 PM