Oleh Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

Imunisasi adalah pemberian vaksin untuk mencegah penyakit tertentu apabila ia membantu tubuh menghasilkan antibodi yang berfungsi melindungi terhadap penyakit. Vaksin yang diberi kepada bayi dan kanak-kanak tidak hanya menjaga mereka supaya kekal sihat, tetapi juga membantu mencegah penyakit serius yang selalu dialami ketika usia bayi dan kanak-kanak.

Vaksin secara umum adalah selamat kerana manfaat diberikan vaksin jauh lebih besar daripada kesan sampingan yang mungkin timbul. Malah dengan adanya vaksin, banyak penyakit serius dalam kalangan bayi dan kanak-kanak jarang dikesan pada masa ini.

Namun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bimbang apabila pemberian vaksin pada peringkat global untuk tahun ini masih jauh daripada sasaran berikutan tinjauan mendapati seorang daripada lima kanak-kanak belum mendapat imunisasi rutin yang mampu mengelak kematian kira-kira 1.5 juta kanak-kanak setiap tahun daripada penyakit yang boleh dicegah.

Sehubungan itu, sempena Minggu Imunisasi Sedunia pada 24 hingga 30 April lalu, WHO menyeru usaha pemberian vaksin dalam kalangan bayi dan kanak-kanak di seluruh dunia dipertingkatkan semula supaya program pemberian imunisasi kembali menepati sasaran untuk menyelamatkan lebih banyak nyawa kanak-kanak disebabkan kegagalan pemberian vaksin.

Pada 2012, sebanyak 194 negara anggota menandatangani Pelan Tindakan Vaksin Global (GVAP) iaitu komitmen bagi memastikan semua kanak-kanak tidak terlepas vaksin penting pada Perhimpunan Kesihatan Sedunia pada 2012. Malah, GVAP menetapkan enam sasaran supaya semua orang dapat hidup bebas daripada penyakit yang boleh dicegah menerusi vaksin menjelang 2020.

Namun, laporan penilaian bebas baru-baru ini mendapati pemberian vaksin tidak menyeluruh apabila hanya satu daripada enam sasaran yang ditetapkan sehingga akhir tahun ini yang mengikut perancangan, manakala selebihnya masih tersasar.

Sekurang-kurangnya 90 negara berpendapatan sederhana dan rendah diperkenalkan dengan vaksin yang kurang digunakan menjelang 2015 yang menepati sasasan.

Sebanyak 65 negara belum mencapai sasaran 90 peratus kanak-kanak diberikan imunisasi menentang difteria, kancing gigi dan batuk kokol (DTP3), tiga negara lagi dilanda endemik polio sedangkan GVAP mensasarkan tiada lagi kes baru selepas 2014, sebanyak 24 negara juga masih belum bebas penyakit kancing gigi yang disasarkan untuk dibasmi pada akhir 2015, kira-kira 16 peratus kanak-kanak di tiga bahagian kesihatan juga tidak diberikan vaksin demam campak dan separuh daripada kanak-kanak di dua bahagian kesihatan tidak mendapat vaksin rubella menjelang akhir 2015.

Kerjasama global dalam program sebegini dijalankan sejak pertengahan 1970 dengan penubuhan Program Lanjutan di semua negara mencapai keputusan dramatik apabila tahap pemvaksinan meningkat daripada lima peratus kepada 80 peratus di kebanyakan negara menjelang 2013.

WHO menganggarkan program imunisasi mencegah dua hingga tiga juta kematian setiap tahun dan melindungi lebih ramai lagi daripada penyakit dan ketidakupayaan.

Walaupun usaha terhenti beberapa tahun kebelakangan ini, kejayaan awal menunjukkan potensi pemvaksinan yang dilanjutkan daripada kanak-kanak kepada remaja dan dewasa meningkat, sekali gus melindungi mereka daripada penyakit seperti influenza, meningitis, kanser serviks dan kanser hati.

GVAP mengesyorkan tiga langkah untuk merapatkan jurang imunisasi iaitu pemvaksinan bersepadu dengan perkhidmatan kesihatan lain seperti penjagaan selepas bersalin untuk ibu dan bayi, mengukuh­kan sistem kesihatan supaya pemvaksinan dilakukan berterusan walaupun negara dilanda krisis, dan memastikan semua orang diberi vaksin serta mampu membayarnya.

Pengarah Imunisasi, Vaksin dan Biologi WHO, Dr Jean-Marie Okwo-Bele berkata, pertubuhan akan ber­usaha meningkatkan sokongan kepada semua negara yang ketinggalan pada pertemuan sasaran program imunisasi akan datang.

WHO akan mempertemukan wakil daripada 34 negara yang memberikan rutin vaksin, termasuk tiga dos DTP3, sehingga 80 peratus bagi membincangkan cabaran dihadapi mereka dan meneroka penyelesaian untuk mengatasinnya.

“Walaupun banyak negara memberi vaksin kepada empat daripada lima kanak-kanak dengan DTP3, kira-kira satu pertiga negara lain masih berhempas-pulas untuk mencapai sasaran kanak-kanak kelima.

“Ini bermaksud jutaan kanak-kanak masih kekal berisiko menghidap penyakit, ketidakupayaan dan kematian disebabkan mereka tidak memperoleh imunisasi diperlukan.

“Tidak ada satu pun pendekatan berpusat yang boleh memastikan vaksin diberi kepada setiap kanak-kanak. Pelan pemvaksinan di peringkat bawahan perlu diadaptasi bukan saja kepada negara, malah daerah dan komuniti. Yang diperlukan adalah usaha bersepadu dan tanggungjawab supaya masing-masing memenuhi mandat mereka dan membantu merapatkan jurang imunisasi,” katanya.

Banyak perlu dilakukan supaya pemvaksinan dapat diluaskan, termasuk mencari jalan untuk memudahkan prosedur vaksinasi di lapangan; menambah baik pemberian vaksinasi kepada setiap kanak-kanak, terutama yang tinggal di kawasan pedalaman dan tidak boleh diakses; memastikan vaksin mampu dibeli; melatih lebih

ramai pekerja kesihatan dan meningkatkan kesedaran serta permintaan untuk imunisasi oleh ma­syarakat.

Sehubungan itu, minggu terakhir setiap April dipilih sebagai Minggu Imunisasi Sedunia yang bermatlamat meningkatkan kesedaran awam mengenai program imunisasi mampu menyelamatkan nyawa, menggalakkan orang ramai mendapatkan vaksin untuk diri mereka dan anak bagi menentang penyakit berbahaya dan boleh menyebabkan kematian.

Antara penyakit yang boleh dicegah menerusi pemberian vaksin ialah haemophilus influenzae jenis b (Hib) yang menyebabkan meningitis dan pneumonia, hepatitis B yang menyerang hati, human papillomavirus (HPV) yang menyebabkan kanser serviks dan jangkitan seks, demam campak menyebabkan buta dan encefalitis, me­ningitis A iaitu jangkitan pada otak, beguk, pneumococcal, polio, rotavirus yang menyebabkan cirit-birit, rubella, kancing gigi dan demam kuning.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mei 2015 @ 10:34 AM