AFP

London: Selepas unggul sepanjang musim, kejuaraan Liga Perdana Inggeris semakin hampir menjadi milik Chelsea malam ini apabila mereka menanti kunjungan Crystal Palace dengan memerlukan tiga mata untuk muncul juara.

Tidak diragui Chelsea pasukan terulung musim ini dan hanya menanti masa untuk dinobat sebagai juara.

Sudah lima tahun sejak kali terakhir mereka muncul juara dan keadaannya agak berbeza dengan pasukan kendalian Carlo Ancelotti membenam Wigan Athletic 8-0 di Stamford Bridge pada hari terakhir kempen bagi melakar rekod baru jaringan semusim Liga Perdana dengan 103 gol.

Pasukan semasa Chelsea berdepan tuduhan ‘membosankan’ dalam tempoh beberapa minggu terakhir, selepas mencatat tujuh kemenangan dengan perbezaan satu gol dan tiga seri.

Namun seperti dijelaskan pengurus Jose Mourinho, mereka menang lebih banyak perlawanan (24), tidak banyak kalah (dua) dan tidak dibolosi lebih banyak perlawanan (16) berbanding pasukan lain, manakala juara bertahan Manchester City mengatasi mereka dari segi jaringan (70 berbanding 68).

Pemenang Piala Liga itu berjaya menjarakkan jurang 13 mata berbanding pencabar terdekat City dan Arsenal dan Mourinho kini hanya mahukan pemainnya menamatkan tugas mereka.

“Kami perlu dua atau tiga mata untuk muncul juara. Katakan tiga bagi memastikan kami tidak bergantung kepada perbezaan jaringan,” katanya kelmarin.

“Kami perlukan kemenangan atau tiga mata dengan tiga keputusan seri. Jelasnya kami mahu menamatkannya secepat mungkin. Jika kami boleh melakukannya di laman sendiri lebih bagus. Jika kami boleh melakukannya Ahad ini (malam ini) lebih bagus. Itulah yang berada dalam fikiran kami.”

Dua belas tahun sejak Roman Abramovich membeli kelab itu, Chelsea masih ketinggalan di belakang pasukan tradisi Manchester United, Liverpool dan Arsenal dari segi jumlah kejuaraan liga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mei 2015 @ 7:57 AM