Gambar kanak-kanak yang dirantai neneknya kerana nakal. FOTO ihsan pembaca
Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop
am@hmetro.com.my

Bidor: Gambar seorang kanak-kanak lelaki dirantai tangan serta dikunci di tiang papan tanda jalan didakwa dilakukan oleh neneknya sehingga tersebar di laman sosial Facebook hari ini adalah benar dan kini dalam siasatan polis.

Kejadian di sebuah taman perumahan di Bidor itu berlaku pada 2.30 petang semalam dan kanak-kanak terbabit berusia tiga tahun, dirantai selama lima minit di depan rumahnya sambil diperhatikan neneknya.

Kanak-kanak itu yang bersekolah di tadika dirantai kerana nakal dan tidak membuat kerja sekolah.

Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, polis menerima maklumat pada 10.30 pagi tadi selepas gambar berkenaan ‘viral’ di Facebook

Katanya, anggota polis segera ke rumah mangsa dan hasil siasatan awal mendapati neneknya mengaku merantai serta mengunci tangan cucunya di tiang papan tanda di hadapan rumah mereka disebabkan terlalu marah dengan cucunya itu.

"Kita juga sudah menjalankan siasatan ke atas mangsa sendiri serta melakukan pemeriksaan di tubuh badannya dan mendapati tiada sebarang unsur penderaan lain berlaku terhadapnya.

"Mangsa memberitahu dia tidak dipukul oleh neneknya dan kes berkenaan masih dalam siasatan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2015 @ 7:38 PM