SHAHID Kapoor
ARJUN Kapoor
ALIA Bhatt
Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my


Kali pertama diadakan di Millennium Dome, London pada tahun 2000, kini Anugerah Akademi Filem Antarabangsa India (IIFA) ditonton 800 juta orang di seluruh dunia.

Membuka tirai acara anugerah filem Bollywood paling berprestij itu, tahun itu filem arahan Sanjay Leela Bhansali, Hum Dil De Chuke Sanam diangkat sebagai Filem Terbaik. Ia memperlihatkan lakonan hebat Salman Khan, Aishwarya Rai dan Ajay Devgan.

Penganjuran IIFA buat kali kedua di negara ini akan diadakan pada 5 hingga 7 Jun di Stadium Putra Bukit Jalil dengan menyaksikan pencalonan paling banyak terutama dalam kategori popular.

Menurut kenyataan dikeluarkan syarikat pengurusan acara yang menguruskan penganjuran IIFA di sini, tahun lalu sinema di India berjaya menghasilkan banyak filem pecah panggung.

Antara filem yang akan bersaing sengit pada IIFA tahun ini, 2 States arahan Abi­shek Verman dengan sembilan pencalonan, diikuti rapat Haider arahan Vishal Bhardwaj yang mendapat lapan pencalonan, PK (arahan Raj­kumar Hirani) dengan enam pencalonan dan Queen (arahan Vikas Bahl) pula menerima lima pencalonan.

Filem lain yang turut mendapat perhatian penonton sepanjang 2014, Highway (arahan Imtiaz Ali) and Ek Villain (arahan Mohit Suri).

Jelas Pengarah Wizcraft International Entertainment Pvt Ltd, Andre Timmins, menakjubkan sekali melihat perkembangan industri filem Bollywood yang begitu drastik setiap tahun.

“Ia adalah tahun yang amat luar biasa dengan kemunculan ramai bakat baru dan penerbitan filem yang banyak,” katanya.

Wizcraft International Entertainment adalah syarikat yang menganjurkan IIFA.

Bercakap mengenai senarai pencalonan aktor yang bakal merebut gelaran Pelakon Lelaki Terbaik tahun ini, calonnya ialah Datuk Shahrukh Khan (Happy New Year), Aamir Khan (PK), Hrithik Roshan (Bang Bang), Arjun Kapoor (2 States), Shahid Kapoor (Haider) dan Randeep Hooda (Highway).

Senarai aktres untuk kategori Pelakon Wanita Terbaik pula ialah Deepika Padukone (Happy New Year), Priyanka Chopra (Mary Kom), Rani Mukherji (Mardaani), Anushka Sharma (PK), Kangana Ranaut (Queen) dan Alia Bhatt (2 States).

Pengarah Filem Terbaik pula akan menyaksikan persaingan antara Vikas Bahl (Queen), Vishal Bhardwaj (Haider), Rajkumar Hirani (PK), Abhishek Varman (2 States) dan Imtiaz Ali (Highway).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2015 @ 10:59 AM