CECH idam rai gelaran di Stamford Bridge.
AFP

London: Pentas sudah tersedia bagi penentuan juara Liga Perdana Inggeris minggu ini apabila bakal juara Chelsea menerima kunjungan Crystal Palace malam esok dengan memerlukan tiga mata bagi merangkul gelaran pertama liga sejak 2010.

Kemenangan 3-1 ke atas Leicester City awal pagi kelmarin membolehkan Chelsea unggul 13 mata di depan pencabar terdekat Manchester City dan Arsenal yang beraksi kurang satu perlawanan.

Kejuaraan dilihat menuju ke Stamford Bridge tidak kira apa yang berlaku hujung minggu ini, namun penjaga gol Chelsea, Petr Cech teruja meraikan kejayaan itu di depan penyokong kelab.

“Menakjubkan apabila anda menang satu kejuaraan, tapi jika menang di laman sendiri ia lebih bermakna,” kata pemain Republik Czech berusia 32 tahun yang turun beraksi menggantikan Thibaut Courtois di Leicester.

Dengan Palace 12 mata di depan tiga pasukan tercorot dan terselamat daripada penyingkiran, jelas ia memberikan tonik terbaik bagi Chelsea meraikan kejayaan.

Namun, sekalipun pasukan kendalian Alan Pardew kalah dua perlawanan terakhir di tempat sendiri, kecundang 0-2 kepada West Brom dan Hull City, mereka hanya kalah sekali dalam lapan perlawanan
di gelanggang lawan.

“Stamford Bridge bersedia meraikannya, tapi kalau boleh saya minta mereka jangan meraikannya,” tegas pengurus Chelsea Jose Mourinho.

“Kami mahu menang, tapi ia pasti perlawanan yang sukar. Stamford Bridge mesti bersedia untuk menekan kami. Kami mahu mereka membantu kami memenangi kejuaraan Ahad ini.”

Selain perebutan kejuaraan, persaingan bagi tempat ke Liga Juara-Juara juga semakin rancak dengan Liverpool kini tujuh mata di belakang empat pasukan teratas berikutan kekalahan 0-1 di tangan Hull, awal pagi Rabu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2015 @ 8:22 AM