PERUMAHAN Rakyat 1Malaysia antara projek perumahan yang membantu orang ramai memiliki rumah mampu milik.
Oleh Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Rumah mampu milik sememangnya sesuatu yang menjadi bualan dalam kalangan rakyat untuk membolehkan mereka mendapatkan kediaman yang sesuai dengan kadar pendapatan.

Namun, apabila melihat kepada situasi harga jualan yang ditawarkan pemaju ketika ini nampaknya cita-cita untuk membeli rumah terpaksa ditangguhkan memandangkan ada di antaranya menawarkan harga sehingga RM500,000 seunit dan dikatakan sebagai rumah mampu milik.

Sememangnya takrifan mengenai rumah mampu milik ini sentiasa menjadi isu memandangkan harga yang dikatakan mampu milik itu kadang-kala tidak sesuai untuk digunakan.

Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, takrifan rumah mampu milik ialah bergantung kepada pendapatan bulanan yang mampu digunakan oleh orang ramai untuk membayar ansuran bulanan atau dalam kata lain ialah komitmen pembayaran bulanan kepada pihak bank.

Menurutnya, rumah mampu milik juga adalah satu bentuk perumahan yang dibangunkan oleh pihak kerajaan atau swasta yang mampu dimiliki oleh rakyat mengikut pendapatan daripada berpendapatan rendah, pertengahan atau tinggi.

“Komitmen pembayaran bulan yang perlu ditanggung oleh individu dalam pembelian rumah tidak melebihi daripada 30 peratus pendapatan keseluruhan isi rumah dan sekiranya pembeli mampu memenuhi peratusan ini untuk membeli sesuatu rumah maka ia adalah jenis rumah mampu milik untuknya.

“Di peringkat kerajaan, kita tidak memfokuskan kepada sesetengah golongan saja untuk membolehkan mereka memiliki rumah, tetapi disasarkan kepada semua golongan mengikut kemampuan berdasarkan pendapatan bulanan mereka,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan kerajaan komited untuk membina lebih banyak rumah mampu milik dan meningkatkan kadar pemilikan daripada kadar semasa 50 peratus bagi membekalkan sejuta rumah mampu milik menjelang 2018 dan sudah menggerakkan sektor awam serta swasta untuk mencapai agenda berkenaan.

Halimah berkata, pelbagai program termasuk usaha oleh Perumahan Rakyat 1Malaysia Bhd (PR1MA) dan Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) serta melalui Program Perumahan Rakyat dan Skim Pemilikan Rumah Mampu Milik Swasta.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2015 @ 7:55 AM