Arahan Najib di Twitternya.

Kuala Lumpur: "Shabery Cheek Please take charge of the topup issue. Mulai sekarang, sebarang pengumuman kepada rakyat hanya boleh dibuat oleh Menteri KKMM sahaja,".

Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di laman Facebook dan Twitter beliau hari ini, yang mengarahkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengendalikan isu berkaitan kad tambah nilai prabayar, diharap dapat menangani kekeliruan berhubung isu itu.

Rungutan terhadap kad tambah nilai prabayar adalah antara paling banyak diterima sejak pelaksanaan sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bermula 1 April lepas.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia kemudian mengarahkan syarikat telekomunikasi untuk menetapkan semula harga kad prabayar telefon kepada harga asal, iaitu seperti sebelum pelaksanaan GST.

Bagaimanapun, arahan yang sepatutnya berkuat kuasa hari ini ditangguh selepas Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Halim Shafie membuat kenyataan pada Rabu bahawa isian semula telefon prabayar akan terus dijual dengan dikenakan GST.

Isu itu menjadi ‘viral’ di laman media sosial dengan pelbagai manipulasi fakta yang bertujuan menimbulkan ketidakpuasan hati rakyat kepada kerajaan.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antrabangsa, Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata sebenarnya, langkah menarik balik sesuatu arahan misalnya caj GST bagi setiap pembelian kad prabayar, bukanlah sesuatu yang mudah dan boleh dibuat secara tergesa-gesa.

"Jika hari ini kerajaan kata tiada GST untuk kad prabayar, percayalah, esok akan ada pihak-pihak lain yang akan tampil dan mengambil kesempatan di atas keprihatinan kerajaan ini dan akan timbul pelbagai permintaan yang tidak munasabah berkaitan pelaksanaan GST,"katanya.

Beliau berkata arahan supaya syarikat telekomunikasi mengekalkan harga asal juga agak mustahil kerana sukar bagi pembekal perkhidmatan melaksanakan perubahan dalam masa yang singkat.

"Yang dah dilaksanakan, teruskanlah, tidak perlu tergesa-gesa untuk mengubah apa yang telah ditetapkan...ambil masa untuk buat kajian dengan mengambil kira pelbagai aspek," kata beliau.

Mohamed Mustafa berkata, sememangnya sukar untuk kembali kepada kadar sebelum GST kerana ia akan menyebabkan kerumitan untuk membuat konfigurasi semula terhadap sistem.

Sementara itu, Halim menjelaskan, selain pihak pembekal perkhidmatan, terdapat 30,000 ejen pihak ketiga seperti institusi kewangan, pembekal pembayaran elektronik, pasar raya, stesen minyak dan ejen jualan lain yang turut terlibat dalam penjualan dan isian semula kad prabayar.

Menurutnya ia juga melibatkan kos yang besar bagi pihak pembekal perkhidmatan dan ejen-ejen pihak ketiga selain stok baharu kad prabayar perlu dikeluarkan dan diagihkan ke seluruh negara.

"Untuk mengubah GST bagi kad prabayar telefon kepada 'tax inclusive' atau termasuk cukai, tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa, sebaliknya apa yang telah dilaksanakan, harus diteruskan sehingga penyelesaian terbaik diperolehi," katanya.

Sementara itu, Ahmad Shabery di laman Twitter dan Facebook beliau menyatakan akan bertemu dengan semua pihak berkaitan untuk mencari penyelesaian terbaik berkaitan isu kad tambah nilai prabayar itu. Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2015 @ 5:32 PM