PELBAGAI produk kesihatan cuba diseludup keluar menggunakan bot. FOTO ihsan Polis Marin
Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Pelabuhan Klang: Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang merampas pelbagai produk kesihatan yang cuba diseludup ke Indonesia menggunakan bot tukaran di Laut Tanjung Harapan, di sini, petang semalam.

Bot berkenaan ditahan anggota PPM yang menjalankan Ops Tango Papa kira-kira 4.30 petang semalam selepas bot berkenaan dikesan dalam keadaan mencurigakan.

Pegawai Pemerintah PPM Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Ahmad Shafiki Hussain berkata, bot itu dikesan membawa barangan berkenaan dari Jeti Asa Niaga, di sini, menuju Panipahan, Indonesia.

"Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui produk kesihatan pelbagai jenama yang disorok di bahagian kargo bot tukaran barang berkenaan dan semua barangan yang dirampas dianggarkan bernilai RM50,000.

"Semua barangan yang dirampas di bawa ke Markas PPM Pelabuhan Klang untuk diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Selangor kerana dikesan melakukan kesalahan mengikut Peraturan 7.1 (a) Peraturan Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2015 @ 2:56 PM