AFP

Leicester, United Kingdom: Pengurus Chelsea Jose Mourinho tegas mengatakan Liga Perdana Inggeris masih belum menjadi milik mereka walaupun hanya memerlukan satu lagi kemenangan untuk mengesahkan kedudukan sebagai juara musim ini.

Kelab barat London itu pasti bergelar juara jika menewaskan Crystal Palace di tempat sendiri, Ahad ini selepas bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat kemenangan 3-1 di Leicester, semalam.

Gol dijaringkan Didier Drogba, John Terry dan Ramires memastikan kemenangan Chelsea selepas Marc Albrighton memberikan pendahuluan buat Leicester.

“Saya masih belum boleh menyentuh piala. Kami perlukan dua atau tiga mata lagi,” kata Mourinho.

“Kami perlu tiga mata untuk memastikan kedudukan selamat. Kami sudah memasang tekad untuk menang di Stamford Bridge. Itulah momentum yang kami ada ketika ini. Kami mahu bergelar juara di Stamford Bridge.

“Peminat juga belum boleh merayakan kejayaan. Mereka hanya boleh berbuat demikian atas kejayaan kami di Piala Liga. Saya harap peminat boleh bersama kami mendorong semangat pemain. Itulah semangat yang kami ada di dalam kelab.

“Mereka bukan bergembira disebabkan kejayaan memenangi Liga Perdana Inggeris tetapi pemain saya gembira kerana mereka menang satu lagi perlawanan.”

Chelsea menang empat dan seri satu sepanjang lima perlawanan bulan April.

“Saya tidak fikir tekanan akan menjadi masalah buat kami,” kata Mourinho. “Inilah yang seronoknya kerana April menjadi tempoh ramai orang mahu menyaksikan kami tergelincir dan terlepas mata. Sebaliknya kami cukup unggul. Kami bertahan dengan baik dan bermain sebagai satu pasukan.

“Perlawanan malam ini tidak membosankan. Ketinggalan satu gol sebelum rehat bukanlah sesuatu yang boleh membosankan tetapi ia lebih kepada tekanan. Gaya kami di babak kedua lebih hebat.

“Sepanjang April, ramai mengharapkan kami tercicir mata ketika menentang Arsenal dan Manchester United tetapi inilah bulan kami memusnahkan semua lawan kami.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2015 @ 8:26 AM