MALALA
AFP

Peshawar: Mahkamah di sini semalam menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap 10 lelaki kerana cuba membunuh aktivis remaja yang juga pemenang Anugerah Nobel Malala Yousafzai pada 2012 walaupun suspek utama kes itu masih belum dapat ditangkap.

Pegawai mahkamah berkata: “Sepuluh penyerang yang terbabit dalam serangan terhadap Malala sudah dipenjara seumur hidup.”

Perkara itu turut disahkan peguam yang menghadiri prosiding yang diadakan di Mingora.

Tempoh hukuman penjara seumur hidup di Pakistan adalah 25 tahun.

Suspek utama yang disyaki melepaskan tembakan terhadap Malala dinamakan sebagai Ataullah Khan kini dipercayai berada di sekitar Afghanistan bersama ketua Taliban Pakistan, Mullah Fazlullah yang mengeluarkan arahan serangan berkenaan.

Tentera Pakistan mengumumkan penangkapan 10 suspek itu pada September 2014 dalam operasi bersekutu membabitkan tentera, polis dan agensi risikan.

Jurucakap tentera Asim Bajwa berkata, kumpulan itu mempunyai senarai bunuh membabitkan 22 sasaran selain Malala yang semuanya diarahkan Mullah Fazlullah.

Militan Taliban menyerang bas sekolah dinaiki Malala dan menembaknya di kepala pada Oktober 2012 kerana kelantangannya mempertahankan hak kanak-kanak perempuan untuk mendapat pendidikan.

Dua rakan Malala juga cedera dalam serangan di dalam bas yang menggemparkan dunia berkenaan.

Malala yang kini berusia 17 tahun terselamat dan pada Oktober tahun lalu menjadi pemenang termuda Anugerah Nobel dalam sejarah bagi keberanian dan kesungguhannya mempertahankan hak kanak-kanak untuk bersekolah.

Pakistan berdepan pemberontakan golongan pelampau Islam sejak sedekad lalu susulan serangan diketuai Amerika Syarikat di Afghanistan.

Sebelum ini ramai penduduknya menganggap orang Muslim tidak wajar berperang dengan saudara seagama, namun sejak kebelakangan ini serangan Taliban terhadap orang awam termasuk sebuah sekolah di Peshawar melihat semakin ramai mengubah pendirian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2015 @ 8:07 AM