Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Dassault Aviation, Eric Trappier di depan pesawat Rafale.

Kuala Lumpur: Dassault Aviation, pengeluar pesawat tempur dari Perancis mengumumkan Qatar akan menandatangani perjanjian pembelian 24 pesawat Rafale pada Isnin depan bagi mengukuhkan pasukan tentera udara negara itu.

Kontrak pembelian antara kerajaan Qatar dan Dassault Aviation ditandatangani di Doha dengan dihadiri Presiden Republik Perancis, François Hollande.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Eric Trappier berkata, ini adalah kejayaan terbaru pasukan Perancis dalam melakukan demontrasi operasi Rafale yang terbukti daripada kualiti dan keyakinan negara itu yang juga pengguna pesawat Mirage 2000 keluaran syarikat.

Beliau berkata, pembelian pesawat Rafale dianggap satu lanjutan hubungan bersejarah antara Qatar, Perancis dan Dassault Aviation kerana negara itu turut menggunakan pesawat seperti Mirage F1, Alpha Jet dan Mirage 2000.

“Kami bersama rakan strategik Thales dan Safran serta 500 syarikat bersekutu lain yang terbabit dalam program Rafale gembira dengan pengumuman kontrak baru ini yang akan meningkatkan lagi keyakinan kami dalam menghasilkan teknologi terkini kepada industri penerbangan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Rafale yang juga sebuah jet tempur moden dilengkapi pelbagai teknologi termaju sudah terbukti di medan perang dan muncul sebagai pesawat tempur paling versatil dalam keupayaannya melaksanakan pelbagai misi.

Antara ciri keupayaannya termasuk dilengkapi peluru berpandu jarak jauh udara ke udara METEOR yang ditambah dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2015 @ 7:57 AM