Penjualan kad prabayar tanpa GST ditangguhkan esok. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


Putrajaya: Penjualan kad prabayar tanpa Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang sepatutnya berkuatkuasa esok ditangguhkan.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk Seri Khazali Ahmad

berkata, keputusan itu selaras dengan pengumuman Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia

Malaysia (SKMM) yang memaklumkan kajian mengenainya masih dijalankan.

"Syarikat telekomunikasi sedang membuat kajian mengenai layanan GST ke atas perkhidmatan

kad prabayar.

"Sehubungan itu arahan Ketua Pengarah bertarikh 28 April kepada syarikat telekomunikasi

mengenai layanan GST ke atas perkhidmatan kad prabayar yang sepatutnya berkuatkuasa 1 Mei

adalah ditangguhkan,"katanya dalam kenyataan satu perenggan di sini, petang tadi.

Semalam, Khazali mengumumkan mulai esok, pengguna perkhidmatan telekomunikasi prabayar

akan menikmati semula harga jualan kad tambah nilai prabayar seperti yang ditawarkan sebelum

pelaksanaan GST.

Ini bermakna, pengguna hanya perlu membayar RM10 kad tambah nilai prabayar bagi

mendapatkan nilai kredit yang sama tanpa ada sebarang harga tambahan.

Bagaimanapun, Pengerusi SKMM Datuk Seri Dr Halim Shafie dalam satu kenyataan berkata,

berdasarkan kajian yang dibuat, amat sukar untuk syarikat telekomunikasi menyusun semula sistem dalam masa dua hari ini untuk kembali kepada sistem lama.

Beliau dipetik berkata, kesukaran sama akan dihadapi oleh lebih 3,000 ejen ketiga penyedia

telekomunikasi itu seperti institusi kewangan, penyedia perkhidmatan secara dalam talian, pasar

raya, stesen minyak dan ejen jualan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2015 @ 3:14 PM